mutakhir

Bincang empat isu berkaitan ESSZONE

Kota Kinabalu: Sebanyak empat kertas pembentangan dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Penasihat Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE), yang pertama kali diadakan, di sini, semalam.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Menurut satu kenyataan media, pada mesyuarat itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din dan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid memberi taklimat mengenai tahap keselamatan dan tindakan awam yang dilaksanakan di ESSZONE.

Turut memberi taklimat, Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan dan Ketua Eksekutif Institusi Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM), Datuk Dr Lee Bee Phang.

“Kertas pembentangan yang dibentangkan adalah berkaitan isu dan cabaran keselamatan di ESSZONE, pelaksanaan tindakan awam di ESSZONE, langkah pengurangan kes jenayah di ESSZONE dan Kajian Emprikal: Keberkesanan ESSCOM Dalam Menjaga ESSZONE.

“Keseluruhan situasi keselamatan di ESSZONE pada masa ini adalah selamat dan terkawal,” kata kenyataan itu.

Lembaga Penasihat ESSZONE yang diurus setia oleh Majlis Keselamatan di Jabatan Perdana Menteri diwujudkan ketika Mesyuarat Sidang Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 10 Januari lalu.

Antara terma rujukan lembaga penasihat itu adalah menasihati Jawatankuasa ESSZONE yang dipengerusikan Ketua Menteri Sabah mengenai langkah memantap dan mengukuhkan keselamatan dan ketenteraman awam di ESSZONE.

Lembaga penasihat itu juga berperanan menasihati jawatankuasa berkenaan mengenai langkah meningkatkan kerjasama antara kementerian, jabatan dan agensi di peringkat persekutuan dan negeri dalam melaksanakan operasi dan tindakan awam di ESSZONE.

Penubuhan Lembaga Penasihat ini akan dapat memantapkan lagi pengurusan keselamatan di ESSZONE yang membabitkan pelbagai jabatan dan agensi di peringkat persekutuan dan negeri.

Disiarkan pada: April 18, 2017 @ 3:52am
d