mutakhir

Rumah transit pasangan muda

Oleh Nursyahirah Marzuki

Putrajaya: Kerajaan menyasarkan untuk membina 10,000 unit Rumah Transit 1Malaysia (RT1M), dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi memberi peluang kepada pasangan muda berkelayakan menyewa dalam tempoh tertentu.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata, fasa pertama pembinaan projek ini akan membabitkan 4,800 unit yang akan dibina di Mukim Batu, Kuala Lumpur, Julai depan.

“RT1M berkonsepkan apartmen studio yang mempunyai satu atau dua bilik. Bagi unit yang mempunyai satu bilik ia bersaiz 41.80 meter persegi, manakala unit yang mempunyai dua bilik adalah bersaiz 60.38 meter persegi.

“Kabinet sudah meluluskan secara dasarnya untuk melaksanakan program ini dan kita akan membina rumah berkualiti tinggi setanding kondominium dengan pelbagai kemudahan termasuk kolam renang dan berdekatan kemudahan awam lain,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Halimah Mohamed Sadique, Timbalan Ketua Setiausaha KPKT (Kesejahteraan Bandar) Datuk Halimi Abd Manaf, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Wira Wan Mohd Nor Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara (JPN) Datuk Abdul Rahim Ishak.

Noh berkata, RT1M disediakan khusus untuk pasangan muda yang sudah berkahwin dan berusia antara 18 hingga 30 tahun.

Menurutnya, mereka dibenarkan untuk menyewa rumah berkenaan dengan kadar lebih rendah berbanding kadar sewa semasa di kawasan itu.

Katanya, antara syarat lain yang ditetapkan ialah mempunyai pendapatan isi rumah RM5,000 sebulan.

“Bagaimanapun, penyewa rumah transit ini hanya dibenarkan menyewa dalam tempoh lima tahun dan selepas itu mereka perlu mendapatkan rumah sendiri.

“Malah, kita juga tidak akan menjual rumah terbabit supaya generasi akan datang dapat menikmati kemudahan yang disediakan kerajaan,” katanya.

Pada majlis itu, Noh turut melancarkan Sistem Pengurusan Perumahan Negara (SPRN), bagi memberi kemudahan kepada rakyat membuat permohonan perumahan secara dalam talian.

Katanya, orang ramai kini mempunyai pilihan sama ada membuat permohonan secara dalam talian berbanding manual.

“Permohonan secara dalam talian ini akan dibuka secara rasmi pada 2 Mei depan dan orang ramai boleh melayari sprn.kpkt.gov.my.

“Antara perkhidmatan program perumahan yang disediakan termasuk Program Perumahan Rakyat (PPR), Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome), Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit), Skim Pinjaman Perumahan (SPP) dan RT1M,”katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2017 @ 3:53am
d