mutakhir

Anak kapal KD Perantau jatuh laut

Kota Kinabalu: Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hilang selepas dikhuatiri jatuh ke laut dalam kejadian di perairan Bintulu, Sarawak, jam 9 pagi semalam.

Mangsa yang juga anak kapal KD Perantau hilang selepas kali terakhir dilihat berada di bilik rehat pada jam 7.15 pagi ketika dalam pelayaran pulang ke Pangkalan TLDM Lumut dari Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar.

Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, bilik operasi mencari dan menyelamat ditubuhkan di Markas Wilayah Laut 2, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

“Usaha pencarian di laut dilaksanakan KD Selangor dan helikopter Fennec, selain dibantu oleh kapal maritim (KM) Tabah milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berpangkalan di Bintulu.

“Selain itu, pihak Markas Wilayah Laut 2 turut memohon bantuan udara daripada pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” katanya dalam kenyataan media dikeluarkan TLDM, semalam.

Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku di perairan kira-kira 90 batu nautika barat daya Bintulu. KD Perantau yang membawa kira-kira 80 anak kapal berada di Sabah dan Sarawak selama enam hari selepas melaksanakan ujian penerimaan sistem pengukuran hidrografi.

Pelabuhan terakhir dilawati adalah Pangkalan TLDM Kota Kinabalu untuk ulang bekal sebelum meneruskan pelayaran pulang ke Lumut.

Disiarkan pada: April 18, 2017 @ 4:14am
d