mutakhir

Menyewa untuk simpan RM18,000

Najib berkata, projek perumahan itu julung kalinya memperkenalkan konsep sewa dan menyimpan dalam usaha membantu mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana yang bekerja di ibu kota untuk memulakan kehidupan.

“Konsep unik ini yang diperkenalkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mana akan menyewakan seunit rumah dengan harga RM800 sebulan kepada mereka yang layak dan daripada RM800 itu, sebanyak RM300 akan disimpan untuk dipulangkan semula kepada penyewa selepas lima tahun.

“Sewa sebenar seunit ini hanya RM500 sebulan. Di tengah kota raya kalau ikutkan harga pasaran, tidak dapat sewa RM500 sebulan.

“Ditambah pula, dengan force saving (kuasa menyimpan), yang mana selepas lima tahun penyewa akan dikembalikan dengan duit simpanan kira-kira RM18,000 dan duit itu boleh digunakan sebagai deposit membeli rumah,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar.

Najib berkesempatan melawat unit contoh yang telah disiapkan pemaju selain meninjau sendiri pelan pembangunan projek berkenaan yang bakal memanfaatkan golongan yang betul-betul memerlukan.

Projek Pangasapuri @ Sungai Udang dijangka siap pada Disember 2019 dengan pembinaan 1,251 unit merangkumi dua blok setinggi 32 tingkat dan satu blok setinggi 34 tingkat di tanah seluas 2.2 hektar.

Ia hanya layak untuk disewa kepada golongan yang berpendapatan isi rumah di bawah RM10,000 yang bekerja di Kuala Lumpur. Setiap unit dibina dengan keluasan 807 kaki persegi mengandungi tiga bilik tidur dan dua bilik mandi.

Pangsapuri itu juga dilengkapi dengan kemudahan seperti surau, kolam renang dan dewan serbaguna.
- BERNAMA

Disiarkan pada: April 18, 2017 @ 4:15am
d