mutakhir

Sinaran RF 700 pemancar berdaftar selamat

Bangi: Tahap sinaran Frekuensi Radio (RF) di lebih 700 infrastruktur pemancar telekomunikasi berdaftar di seluruh negara disahkan tidak melebihi had dedahan sinaran dibenarkan Suruhanjaya Antarabangsa Perlindungan Radiasi Sinaran Tidak Mengion (ICNIRP).

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (ANM) Dr Mohd Ashhar Khalid berkata, had dedahan sinaran RF bergantung kepada frekuensi yang digunakan aplikasi sinaran terbabit.

“Contohnya penyedia rangkaian komunikasi di Malaysia menggunakan pelbagai julat frekuensi masing-masing tetapi had maksimum untuk orang awam adalah 1,000 mikrowatt persentimeter persegi.

“Secara purata bacaan pemancar telekomunikasi berlesen di negara ini adalah kurang dari satu peratus daripada had dedahan dibenarkan ICNIRP,” katanya.

Menurut Mohd Ashhar lagi, terdapat dua jenis radiasi iaitu Radiasi Berion dan Tak Berion, yang mana radiasi berion memiliki tenaga yang cukup untuk mengubah tindak balas kimia pada tubuh badan dan memberi kesan kepanasan melampau seperti sinaran Gama dan sinaran X (X-ray).

Manakala Radiasi Tak Berion pula tidak memiliki tenaga yang cukup untuk menyebabkan pengionan dalam jirim hidup dan tidak mendatangkan kesan buruk pada manusia contohnya radiasi RF daripada pemancar televisyen, radio dan peralatan telekomunikasi.

Katanya, pembinaan struktur pemancar telekomunikasi penting bagi memastikan liputan telefon dan internet adalah baik di sesuatu kawasan dan biasanya ia dibina berhampiran taman perumahan serta premis komersil.

“Pemilihan kawasan dilakukan pihak telekomunikasi bersama syarikat berlesen yang dilantik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selain perlu mendapat permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Kesihatan dan Keselamatan Sinaran ANM, Dr Wan Saffiey Wan Abdullah berkata, agensi terbabit berkeupayaan dan mempunyai kepakaran untuk mengukur aras sinaran RF yang dihasilkan struktur pemancar telekomunikasi.

Kata Wan Saffiey, komponen utama dalam penilaian sinaran RF adalah tenaga pakar serta peralatan mengukur medan elektrik dalam julat frekuensi yang digunakan syarikat telekomunikasi.

Jelas beliau, protokol pengukuran dan penilaian berdasarkan kepada cadangan oleh standard antarabangsa selain itu, ANM turut membangunkan protokol piawaian Malaysia sendiri dalam mengukur serta menilai RF dari struktur telekomunikasi menerusi Jabatan Standard Malaysia.

“Jika ia melebihi tahap selamat bermakna ia tidak mematuhi garis panduan SKMM dan juga ICNIRP.

“Pihak SKMM boleh mengambil tindakan bersama PBT berdasarkan kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Menurut beliau lagi, jika terdapat aduan daripada orang ramai mengenai isu radiasi yang dihasilkan oleh struktur pemancar tidak berlesen, pihaknya akan menjalankan pengukuran atau audit kepada aras sinaran RF sekiranya terdapat permintaan.

Katanya, ANM bukan agensi penguat kuasa dan mereka tidak memiliki kuasa untuk meroboh atau menurunkan sesebuah infrastruktur tidak berlesen kerana kelulusan pembinaan struktur pemancar adalah di bawah tanggungjawab PBT.

“PBT bertanggungjawab untuk memantau kerja pembinaan dan sebarang perlanggaran syarat atau peraturan adalah di bawah bidang kuasa mereka,” katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2017 @ 4:23am
d