mutakhir

Reman pemimpin muda AMK disambung empat hari lagi

Putrajaya: Mahkamah Majistret semalam melanjutkan tempoh reman empat hari bermula hari ini terhadap pemimpin muda Angkatan Muda Keadilan (AMK) Datuk Adam Rosly Abdullah bagi membantu siasatan berhubung kekayaan luar biasa dimilikinya.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Abd Rahman terhadapnya sehingga 22 April ini selepas membenarkan permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Adam Rosly, 29, ditahan untuk membantu siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Terdahulu, dia dibawa ke mahkamah jam 9.10 pagi oleh pegawai SPRM dan dilihat memakai baju lokap warna jingga manakala tangannya bergari.

Pada 10 Februari lalu, SPRM sudah merakam keterangannya berhubung dakwaan kekayaan luar biasa termasuk memiliki banglo dan beberapa kereta mewah meski pun baru memegang jawatan dalam PKR.

Khamis lalu, Adam Rosly ditahan di ibu pejabat SPRM selepas hadir jam 2.30 petang untuk memberi keterangan berhubung dakwaan berkenaan.

Disiarkan pada: April 19, 2017 @ 5:23am
d