mutakhir

Pesong agama

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Penularan fahaman baru kononnya tidak mewajibkan orang Islam membayar zakat antara fahaman salah yang membimbangkan tersebar dalam kalangan masyarakat ketika ini.

Berikutan itu, orang ramai di negeri ini yang memperoleh maklumat berkaitan fahaman itu perlu menolaknya dan tidak menyebarkannya kepada orang lain.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri Ghazali Taib berkata, pelbagai fahaman bercanggah dengan ajaran Islam kian tersebar dalam kalangan masyarakat melalui media sosial dan orang ramai perlu peka serta tidak menerima secara terus, sebaiknya merujuk kepada ahli agama bertauliah terlebih dahulu.

“Pelbagai pembaharuan diperkenalkan dan ia seperti satu pendapat baru bagi memberi kemudahan kepada mereka dalam menjalankan amalan agama, terbaru ada pendapat yang tersebar luas mengenai pembayaran zakat yang tidak perlu ditunaikan walaupun berpendapatan besar.

“Masyarakat perlu prihatin supaya tidak terpengaruh dengan fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam itu dan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sedang giat menjalankan pemantauan terhadap penularan fahaman baru berkenaan dan jika kami memperoleh bukti, mereka yang bertanggungjawab akan didakwa,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Program Multaqa Murabbi Ummah Terengganu 2017, semalam.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pesuruhjaya JHEAT Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim.

Ghazali berkata, JHEAT sentiasa menjalankan pemantauan setiap masa, malah pemantauan itu turut membabitkan madrasah dan pondok di negeri itu bagi memastikan ilmu agama yang diajar di pusat pengajian berkenaan berada pada landasan agama Islam sebenar.

“Kami tidak boleh berada dalam keadaan selesa kerana ajaran sesat mungkin berlaku di negeri ini memandangkan sebelum ini beberapa ajaran sesat termasuk ajaran Ayah Pin pernah berlaku di negeri ini.

“Cuma sehingga kini JHEAT tidak menerima sebarang laporan mengenai ajaran sesat terbaru yang diamalkan di negeri ini tetapi pemantauan secara berterusan sentiasa dilakukan,” katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2017 @ 5:49am
d