mutakhir

Larangan lepas 34 spesies ikan luar

Georgetown: Jabatan Perikanan Pulau Pinang melarang orang ramai melepaskan 34 spesies ikan luar di perairan negara.

Pengarahnya Nor Aisyah Abu Bakar berkata, spesies ikan bukan asli dilarang dilepaskan termasuk piranha, bawal merah dan baung ekor merah.

Katanya, larangan itu dibuat berikutan ada pihak tertentu melepaskan ikan yang bukan berasal dari negara ini selain ia dilihat mengganggu keseimbangan biodiversiti.

“Tindakan melepaskan ikan itu mengganggu habitat dan spesies ikan asli di perairan negara selain menjadi pemangsa spesies ikan lain.

“Kehadiran ikan pendatang dilihat sebagai pembawa dan penyebar penyakit bawaan ke dalam negara,” katanya di Jabatan Perikanan negeri semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua Muhamad Yusoff Mohd Nor.

Nor Aisyah berkata, sejak Januari lalu, hebahan besar-besaran dilakukan dengan mengeluarkan arahan ke atas 34 spesies ikan yang dilarang dilepaskan.

Menurut beliau, ada segelintir pengusaha atau penggemar ikan hiasan membuang ikan peliharaan mereka ke dalam sungai atau longkang besar disebabkan beberapa faktor seperti kos makanan tinggi.

“Pelepasan ikan hiasan terutama ‘flower horn’ yang bersifat lasak dan mampu membiak dengan mudah boleh mengganggu ekosistem.

“Bagi mengatasi masalah ini, pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa akan dilakukan dan peraturan ini melarang mengimport, menjual, memelihara dan menyimpan ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.

“Sekiranya didapati berlaku pelanggaran arahan, tindakan akan diambil mengikut Akta Perikanan 1985, sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2017 @ 6:00am
d