mutakhir

Masalah rasuah dalam sukan terkawal

Kuala Lumpur: Masalah rasuah dalam bidang sukan negara masih terkawal khususnya membabitkan pegawai sukan mahupun atlet.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azam Baki berkata, berdasarkan statistik dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, semua kes rasuah membabitkan sukan adalah di peringkat siasatan, bukan pendakwaan atau pertuduhan.

“Tidak dinafikan isu rasuah memang berlaku namun ia membabitkan pengurusan kewangan sama ada pembelian peralatan atau perkhidmatan.

“Ia bukan membabitkan pemilihan atlet sebaliknya lebih kepada pengurusan kewangan yang turut membabitkan pegawai kerajaan yang ada,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penutup Program ‘Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah’ bersama SPRM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Pesuruhjaya Sukan Malaysia Datuk Zaiton Othman.

Azam berkata, setiap penjawat awam sebenarnya terdedah dengan risiko penyalahgunaan kuasa khususnya mereka yang mempunyai jawatan.

“Mereka yang diamanahkan menjawat satu jawatan perlu bersikap telus dan berintegriti ketika menjalankan tugas demi pembangunan sukan negara.

“Saya melihat Ikrar Bebas Rasuah yang termeterai antara Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan SPRM adalah satu langkah ke arah bebas rasuah,” katanya.

Terdahulu, beliau enggan mengulas lanjut siasatan ke atas bekas pemain bola sepak kebangsaan Khairul Anuar Baharom atau dikenali sebagai ‘Ah Chong’ berhubung kes mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana.

“Siasatan ke atasnya masih lagi diteruskan dan sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2017 @ 6:09am
d