mutakhir

Ayam Brand agih 324,000 produk

Kuantan: Enam puluh rumah kebajikan di seluruh negara dan Brunei menerima sumbangan produk berkhasiat tanpa bahan pengawet daripada syarikat pengeluar makanan dalam tin terkemuka, Ayam Brand, selama dua bulan.

Pengurus Pemasaran Ayam Brand Nicholas Nyeow berkata, syarikatnya menyediakan produk Ayam Brand iaitu ikan tuna, ikan tongkol, isi jagung, ketulan nanas, kepingan pic dan kacang panggang untuk menampung makanan harian semua penghuni rumah kebajikan berkenaan.

“Menerusi program ini, penerima yang terdiri daripada 1,800 kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas akan menikmati bantuan makanan terbabit.

“Pengagihan produk makanan itu dibuat pada awal tahun dan berterusan hingga akhir tahun ini. Ini adalah inisiatif kami dalam membantu meringankan beban pusat kebajikan berkenaan,” katanya selepas perasmian kempen ‘Kami Prihatin, Kita Adalah Sekeluarga’ peringkat negeri, di sini, kelmarin.

Nicholas berkata, pihaknya membekalkan 324,000 produk berkhasiat untuk rumah kebajikan terbabit bagi kempen tahun ini.

Disiarkan pada: April 20, 2017 @ 6:18am
d