mutakhir

Aset tak ternilai

Oleh Amrullah Abdul Karim

Hulu Bernam: Pemberian tanah kepada orang Melayu yang meneroka kawasan Gedangsa sekitar 1960-an oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein menjadi titik tolak kepada perkembangan baru ekonomi rakyat negara ini khususnya di kawasan berkenaan pada masa itu.

Jika perkara itu tidak berlaku, mungkin peneroka tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang kebanyakannya Melayu tidak dapat menikmati kesenangan hidup seperti dikecapi hari ini.

Itu pandangan veteran UMNO, Ngah Mat Daud Kulup Sikin, 89, mengenangkan peristiwa bersejarah yang dilakar bekas perdana menteri kedua itu.

Ngah Mat Daud berkata, tanah yang didiami dan diusahakan ketika ini menjadi aset tidak ternilai serta memberi manfaat bukan saja kepada peneroka, malah generasi akan datang.

“Malaysia merdeka pada 1957, tetapi kehidupan rakyat masih susah hingga sekitar awal 1960-an.

“Alhamdulillah dengan usaha Tun Abdul Razak melaksanakan projek diuruskan FELDA, ia sedikit demi sedikit mengubah kehidupan rakyat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di FELDA Gedangsa, di sini.

Veteran UMNO yang juga bekas Setiausaha UMNO Cawangan FELDA Gedangsa itu mengakui, orang Melayu tidak memiliki aset ketika itu.

Sebab itu, katanya, Tun Abdul Razak memberikan tanah sebagai modal untuk mengembangkan ekonomi rakyat, khususnya orang Melayu.

Menurutnya, setiap peneroka tanah rancangan FELDA diberi tanah seluas 2.8 hektar termasuk tapak untuk membina rumah.

“Saya sendiri asalnya tidak mempunyai tanah hinggalah diberi kerajaan secara percuma dan terus sertai FELDA pada 1960.

“Kami seramai 109 peneroka peringkat dua mengusahakan tanaman getah secara bergotong-royong hingga layak menerima geran dengan masing-masing tiga geran bagi setiap peneroka pada 1978,” katanya.

Katanya, perubahan zaman berlalu pantas dan FELDA beralih kepada tanaman sawit yang lebih menguntungkan, seterusnya mengubah nasib peneroka.

Menurutnya, kehidupan peneroka bertambah baik dengan infrastruktur awam serta pelbagai kemudahan asas lain dinaik taraf.

Ngah Mat Daud turut berkongsi perjuangan dan sumbangannya sepanjang 22 tahun bersama UMNO apabila beliau diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan termasuk Setiausaha UMNO Cawangan FELDA Gedangsa.

Disiarkan pada: April 20, 2017 @ 6:19am
d