mutakhir

Cita rasa Restoran Amethyst Ayam Kampung

Masakan air tangan ibu kini bukan sahaja boleh dinikmati di rumah, malah ia juga boleh dinikmati di restoran.

Rasa sebegitu yang dapat diungkapkan tatkala merasai keenakan sajian tradisional Melayu di Restoran Amethyst Ayam Kampung di Kelana Jaya, Selangor.

Restoran ini menawarkan kepelbagaian hidangan seperti masakan Melayu asli pada siang hari dan masakan ala Thai pada waktu malam yang menarik minat penggemar lauk kampung serta masakan Thai.

Pemiliknya, Mohamad Syahin Mohd Fuad berkata, restoran terbabit sudah beroperasi sejak 2010 dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Apatah lagi, hidangan di restorannya bertambah istimewa apabila masakan untuk sarapan dan makan tengah hari mendapat sentuhan air tangan ibunya sendiri, Mastura Mohamed Lazim, 52.

“Ramai pengunjung yang datang menggemari pelbagai juadah yang disediakan kerana hidangan kami seakan-akan masakan ibu di rumah setiap hari.

“Bagi mereka yang lama tidak pulang ke kampung, juadah kami sudah tentu dapat mengubat kerinduan kepada masakan ibu mereka,” katanya.

Antara lauk-pauk menarik ialah ikan keli dan daging salai masak lemak cili api, ayam kampung goreng dimakan bersama sambal kicap istimewa, sambal udang, ayam masak merah, asam pedas dan kari kepala ikan.

Restoran Amethyst Ayam Kampung beroperasi dari Isnin hingga Jumaat bermula jam 7 pagi hingga 11 malam.

Disiarkan pada: April 20, 2017 @ 6:36am
d