mutakhir

Selesai juga! [METROTV]

Oleh Nor 'Asyikin Mat Hayin

Serdang: Masalah tiga longgokan sampah besar yang mencemari flat Taman Seri Serdang, di sini, sejak tiga minggu lalu selesai apabila Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil tindakan proaktif membersihkan buangan sisa pepejal berkenaan, semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ Azfarizal Abdul Rashid berkata, tindakan itu dilakukan untuk kepentingan penduduk di kawasan perumahan berkenaan meskipun tugas membersihkan sampah itu bukan di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Ini kerana MPSJ hanya mengambil sampah yang dibuang di tong sampah khas atau tempat pembuangan sampah berpusat yang disediakan oleh PBT di kawasan perumahan.

“Sampah yang dibuang secara pukal di tempat yang tidak sepatutnya seperti kawasan letak kenderaan di flat Taman Sri Serdang sebenarnya adalah tanggungjawab Badan Pengurusan Bersama (JMB).

“Perumahan ini masih tidak mempunyai JMB dan ia di bawah pengurusan ejen pengurusan yang dilantik pemaju,” katanya ketika ditemui selepas Operasi Pembersihan Task Force MPSJ, di sini, semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, kira-kira 1,000 penduduk flat Taman Sri Serdang terpaksa berjiran dengan tiga longgokan besar sampah yang sudah tiga minggu tidak dikutip selain menghidu bau busuk meloyakan.

Azfarizal berkata, pihaknya meminta pemaju dan ejen pengurusan perumahan terbabit supaya segera menubuhkan JMB supaya masalah seperti itu tidak lagi berulang.

“Dengan adanya JMB, penduduk akan lebih bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan kawasan perumahan,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2017 @ 6:26am
d