mutakhir

Usah sorok pelajar terbabit dadah

Taiping: Kementerian Pendidikan memberi amaran kepada pihak sekolah supaya tidak menyembunyikan kegiatan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar di sekolah mereka.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementerian sudah mengenal pasti beberapa sekolah bermasalah dengan merujuk yang mempunyai banyak kes disiplin membabitkan ponteng sekolah dan penyalahgunaan dadah, untuk diberi perhatian serius.

Katanya, langkah kementerian menjalin kerjasama rapat dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) bertujuan memantau pelajar.

“Pengetua atau guru besar perlu melaporkannya dan kita akan rungkaikan semua sekali dalam daerah (PPD) seterusnya kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan melaluinya kita tahu berapa ramai yang terbabit.

“Analisis angka membabitkan pelajar yang dikenal pasti mengambil dadah pil sintetik bermula Januari sehingga 15 Mac tahun ini berjumlah 554 orang di seluruh negara.

“Kebanyakan mereka pelajar Melayu dalam Tingkatan Empat. Jumlah itu wajar bagi membolehkan tumpuan diberikan,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Perak, di sini, semalam.

Katanya, PPD dan JPN akan menyerahkan kes berkenaan kepada polis untuk membuat siasatan lanjut.

“Bagi kes pelajar yang ujian air kencing positif dadah, pihak sekolah akan menyenaraikan nama mereka dan diserahkan kepada agensi berkaitan dan polis untuk tindakan,” katanya.

Mahdzir berkata, dalam menangani kes dadah, sekiranya pelajar ditangkap sebagai pengedar atau memiliki dadah, kes berkenaan akan terus menjadi kes polis sepenuhnya.

Disiarkan pada: April 21, 2017 @ 6:39am
d