mutakhir

Saringan skala besar

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Kementerian Kesihatan sedang melakukan proses saringan penyakit tibi atau batuk kering secara besar-besaran di seluruh negara bermula Januari lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, proses saringan itu dilakukan bagi mengesan tahap keseriusan penyakit batuk kering di negara ini bagi tujuan pemantauan dan kawalan.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan 350,000 rakyat Malaysia dan warga asing menjalani proses saringan itu dengan tumpuan khusus di Sabah.

“Proses saringan ini bertujuan mengurangkan risiko penyakit berkenaan di negara ini,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Pertandingan Kemahiran Tangan Emas Piala Datuk Seri Dr S Subramaniam di kementeriannya, di sini, semalam.

Beliau juga menasihatkan orang ramai mendapatkan rawatan segera di hospital sekiranya mengalami batuk berpanjangan melebihi dua minggu.

Dr Subramaniam berkata, sebanyak 23,500 kes tibi dilaporkan di seluruh negara setiap tahun dengan 13 peratus daripadanya membabitkan warga asing.

Menurutnya, penyakit itu merebak melalui pelbagai cara termasuk disebarkan pekerja asing yang tidak melalui saringan perubatan yang diwajibkan ke atas mereka.

“Penyakit itu merebak melalui udara. Antara tanda penyakit tibi ialah batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Subramaniam berkata, sehingga semalam seramai 207 daripada 388 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MARA) Taiping sudah menjalani saringan susulan 11 pelajar di sekolah itu yang dikesan positif penyakit tibi.

“Berdasarkan laporan, seramai lapan pelajar lelaki dan tiga pelajar perempuan dijangkiti penyakit berkenaan.

“Kami tidak pasti dari mana mereka mendapat penyakit berkenaan sama ada di dalam atau di luar sekolah,” katanya.

Media semalam melaporkan seramai 11 pelajar MRSM Taiping dikesan dijangkiti penyakit tibi bermula Jun tahun lalu sehingga kelmarin.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu Perak Datuk Dr Mah Hang Soon, kes pertama dikesan pada Jun tahun lalu apabila seorang pelajar lelaki mengalami simptom batuk berdarah sebelum disahkan menghidap penyakit itu pada 18 Ogos tahun sama.

“Daripada 11 kes yang dilaporkan, kes terbaru direkodkan pada 4 April lalu,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2017 @ 6:40am
d