mutakhir

Jengah derita bumi Syria

Oleh Hayati Ibrahim

Sepang: Teruja dan gementar. Itu perasaan seorang sukarelawan yang terpilih kali pertama untuk menyertai misi kemanusiaan Konvoi Perpaduan Ambulans dari United Kingdom (UK) ke Syria bagi menghantar ambulans dan keperluan perubatan di Idlib, Syria.

Mohd Azam Abdullah, 28, yang juga seorang pembaca berita sambilan berkata, sebelum ini dia sering berdoa kepada Allah supaya memberi peluang kepadanya untuk ke negara bergolak bagi melihat sendiri keadaan di kawasan itu.

“Sebenarnya memang sudah lama saya bercita-cita untuk ke sana (Syria). Saya pernah membuat laporan khas berkaitan Syria, jadi saya ingin melihat sendiri bagaimana keadaan di sana dan apabila terpilih menyertai konvoi, ini adalah peluang keemasan bagi saya.

“Alhamdulillah, Allah makbulkan doa dan saya menyertai rakan lain yang sudah berpengalaman dalam misi seumpama ini. Teruja tetapi pada masa sama saya agak gementar kerana laluan perjalanan kami tidak dimaklumkan secara tepat atas faktor keselamatan.

“Kami perlu sentiasa bersiap sedia dengan segala kemungkinan kerana risikonya dikatakan amat tinggi. Kami berharap perjalanan ini dipermudahkan oleh Allah dan keselamatan kami terjaga demi menyerahkan amanah yang diberikan kepada kami,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui sebelum berlepas ke UK bersama 19 lagi sukarelawan yang turut menyertai misi berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Sementara itu, Ketua Misi Mohamed Muaz Mohamed Ruslan berkata, kumpulan 20 sukarelawan dari Malaysia akan bertemu kumpulan konvoi antarabangsa dari beberapa negara lain di UK sebelum bertolak ke Syria melalui jalan darat dengan memandu ambulans berkenaan.

Disiarkan pada: April 21, 2017 @ 7:10am
d