mutakhir

Enam tuduhan menipu [METROTV]

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas enam pertuduhan memberi pernyataan dan dokumen palsu ketika proses siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kekayaan luar biasa dimilikinya.

Adam Rosly, 30, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa memberi pernyataan palsu kepada dua Pegawai Penyiasat SPRM ketika percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Pernyataan itu berhubung kerjayanya sebagai ahli perniagaan, sumber pendapatan, hasil jualan kenderaan, rumah banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung Melayu Ampang yang dibeli secara tunai.

Pembelian banglo itu dinyatakan adalah hasil pinjaman wang daripada along RM500,000 dan pinjaman daripada ibu mentua dan nenek berjumlah RM200,000.

Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu dua perjanjian persetujuan pinjaman wang daripada dua individu dan dua baucar tunai daripada syarikatnya, Gegas Mentari Holding Sdn Bhd dengan niat untuk memperdaya Pegawai Penyiasat SPRM.

Dia didakwa melakukan semua perbuatan itu di Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 9 pagi hingga 12.15 tengah hari, 10 Februari dan 9 pagi hingga 2 petang, 22 Februari lalu.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Ahmad Akram Gharib manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Zaidi Zainal.

Terdahulu, Ahmad Akram membantah sebarang jaminan kepada tertuduh, namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pendakwaan memohon tertuduh diikat jamin RM400,000 untuk semua pertuduhan.

Ahmad Zaidi pula memohon mahkamah memberikan jaminan rendah atas alasan tertuduh mempunyai pendapatan yang tidak seberapa dan memohon jaminan RM150,000 diberikan kepada anak guamnya bagi semua pertuduhan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 29 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Kelmarin media melaporkan SPRM sudah menyita rumahnya di Ampang yang dibeli dengan harga RM1.2 juta secara tunai.

Disiarkan pada: April 22, 2017 @ 8:00am
d