mutakhir

JPB bantu hala tuju lepasan SPM

Kepala Batas: “Program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) membantu kami mencari hala tuju untuk melanjutkan pelajaran selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” kata Ummul Afiqah Azhari, 18, semalam.

Dia antara lebih 2,000 pengunjung yang mengambil kesempatan sempena program turun padang oleh institusi pengajian tinggi (IPT) yang mencari pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di luar bandar.

Ummul Afiqah dari Prai berkata, sebelum ini dia kabur dan tidak tahu institusi mana wajar menjadi pilihan untuk melanjutkan pelajaran.

“Melalui program ini saya menemui hala tuju, malah ditawarkan peluang ke Universiti Kuala Lumpur dalam bidang ‘Quality Enginering’ yang memang menjadi minat saya,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Badawi (SMKDHAB), semalam.

Program dirasmikan Timbalan Menteri Luar yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. Sebanyak 19 IPT mengambil bahagian dalam program berkenaan termasuk yang berasaskan kemahiran.

Pelajar, Zulaikha Nazer, 18, dari pekan ini berkata, program itu memudahkan pelajar sepertinya memilih IPT sesuai untuk melanjutkan pelajaran.

“Walaupun sudah mengisi borang UPU, saya datang untuk melihat sendiri IPT yang menawarkan bidang sesuai dengan minat saya iaitu Perdagangan,” katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2017 @ 7:48am
d