mutakhir

Cemas anak sesak nafas di puncak gunung

Rembau: Seorang lelaki yang baru menamatkan pendakian di Gunung Datuk, di sini, cemas apabila anak perempuannya yang ikut bersama tiba-tiba sesak nafas, kelmarin.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Rembau Mazruanim Abd Hamid berkata, pada kejadian 1.56 tengah hari, lelaki 40-an itu dan anaknya berusia 10 tahun berjaya mendaki gunung setinggi 885 meter.

Katanya, sebaik tiba di puncak, anak perempuannya sesak nafas menyebabkannya gelisah.

“Sehubungan itu, pendaki lain yang berada di lokasi cuba membantu sebelum panggilan dibuat kepada pihak bomba,” katanya.

Menurutnya, pihaknya yang menerima panggilan jam 1.57 tengah hari mengerahkan tujuh anggota ke lokasi.

“Sejurus tiba jam 2.24 petang, anggota memulakan pendakian dan menemui mangsa pada jam 2.52 petang.

“Kami membawanya turun dan menyerahkan kepada pihak ambulans pada jam 3.32 petang,” katanya.

Mazruanim berkata, pihaknya difahamkan dua beranak terbabit memulakan pendakian pada awal pagi bagi melakukan aktiviti riadah.

“Sehingga kini kanak-kanak terbabit sudah menerima rawatan dan dalam keadaan selamat,” katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2017 @ 8:20am
d