mutakhir

Jalan menuju akhirat

Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: Ikhlas mahu menyebarkan ilmu Allah menyebabkan Mohd Nidzam Omar, 37, tidak mengenakan bayaran kepada peserta Iqra dan al-Quran menerusi program Rumah Ngaji yang diasaskannya sejak dua tahun lalu.

Mohd Nidzam berkata, program setiap Sabtu dan Ahad mulai jam 9 hingga 10.30 pagi itu bertujuan meningkatkan lagi mutu bacaan, tajwid serta pemahaman mengenai kitab suci al-Quran dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa.

Keikhlasan Mohd Nidzam, menyebarkan ilmu Allah turut mendapat sambutan pelbagai pihak apabila dalam tempoh dua tahun dia berjaya membuka 10 Rumah Ngaji di beberapa lokasi di tiga daerah di negeri ini.

Setakat ini tiga Rumah Ngaji beroperasi di Bukit Beruang (Surau al-Aqmar, Masjid Tun Syed Ahmad al-Haj dan rumah di Taman Bunga Raya) dan dua Rumah Ngaji Banda Hilir (Madrasah al-Hadanah dan Madrasah al-Salam).

Selain itu, operasi lain adalah di Rumah Ngaji Surau al-Baraqah Taman Angkasa Nuri di Batu Berendam, Rumah Ngaji Cheng, Rumah Ngaji Masjid al-Ansar di pekan Alor Gajah, Rumah Ngaji Taman Tasik Utama di Ayer Keroh manakala cawangan ke-10 dan terbaru Rumah Ngaji Masjid al-Wakil, Lubok Cina, Masjid Tanah.

Mengikut rekod, program Rumah Ngaji di semua 10 lokasi itu membabitkan 250 dewasa manakala 500 lagi adalah kanak-kanak.

Menceritakan perjuangannya dalam menyebarkan ilmu Allah, Mohd Nidzam berkata, Rumah Ngaji pertama dibuka di Bukit Beruang, sebelum berkembang kepada sembilan lagi cawangan lain.

Selepas menamatkan pengajian tahfiz al-Quran, Mohd Nidzam bertugas sebagai tenaga pengajar di Sekolah Menengah Tahfiz Chenderah, Jasin selama beberapa tahun sebelum mengundur diri pada 2010.

Mohd Nidzam membuka kelas mengaji al-Quran untuk dewasa di Surau al-Aqmar, Taman Bunga Raya, Bukit Beruang pada 2012.

“Alhamdulillah, seorang hamba Allah mewakafkan rumahnya di taman perumahan itu, sekali gus membuka jalan kepada saya memulakan program Rumah Ngaji pertama untuk kanak-kanak dan dewasa pada awal 2016.

“Selain tiada bayaran dikenakan, saya dan tenaga pengajar menerapkan konsep mengaji dengan cara duduk (bersila).

“Kami menitikberatkan aspek pembentukan akhlak dan sahsiah kanak-kanak dengan mewajibkan pakaian baju Melayu atau jubah untuk lelaki manakala baju kurung atau jubah bagi perempuan,” katanya pada pelancaran Rumah Ngaji Masjid al-Wakil, Lubok Cina, di sini, semalam.

Seramai 70 kanak-kanak berusia enam tahun ke atas menyertai program itu dengan tenaga pengajarnya adalah sukarelawan yang mahir dalam ilmu tajwid dan tinggal sekitar Lubok Cina.

Bagi pembentukan akhlak, kanak-kanak dididik dengan disiplin paling asas termasuk menyusun kasut atau selipar di luar masjid dan tidak boleh keluar dari tempat mengaji sebelum jam 10.30 pagi.

Katanya, ibu bapa tidak digalakkan berada di sekitar masjid selepas anak mereka masuk ke dalam dewan solat untuk mengikuti kelas mengaji.

Selain itu, Mohd Nidzam tidak menggalakkan ibu bapa menghantar anak berusia bawah enam tahun untuk menimba ilmu tajwid kerana mereka sukar mengurus diri sendiri.

Sementara itu Pengerusi Masjid al-Wakil Lubok Cina Amiral Mukminin Abdul Wahab berkata, dia tertarik untuk menawarkan masjid berkenaan sebagai pusat Rumah Ngaji selepas mengikuti program itu di Rumah Ngaji Masjid al-Ansar dua bulan lalu.

“Saya berbincang dengan ahli jawatankuasa masjid dan mereka setuju menawarkan tempat di masjid ini bagi menjalankan program Rumah Ngaji diketuai Mohd Nidzam.

“Dengan cara ini, lebih ramai kanak-kanak memahami ilmua tajwid, sekali gus membolehkan mereka mencintai al-Quran,” katanya.

Program dianjurkan juga mampu mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti ilmu dan keagamaan seperti kelas takmir serta ceramah agama.

Disiarkan pada: April 24, 2017 @ 8:21am
d