mutakhir

Pelan tindakan bantu kaum India tingkat sosioekonomi

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan beberapa perkara penting melalui Pelan Tindakan Masyarakat India, sekali gus mencerminkan pendirian dan kesungguhan kerajaan meningkatkan taraf sosioekonomi kaum itu.

“Sukacita saya mengumumkan komitmen kerajaan untuk memperuntukkan RM500 juta bagi skim dana saham bawah Permodalan Nasional Berhad khas untuk kumpulan sasaran dalam golongan B40 (golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah) kaum India.

“Saya (juga) bersetuju untuk penubuhan Revolving Fund (Dana Pusingan) berjumlah RM500 juta bagi memenuhi keperluan pinjaman perniagaan masyarakat India,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kesihatan merangkap Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri S A Vigneswaran, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa dan Duta Khas (Infrastruktur) ke India dan Asia Selatan Datuk Seri S Samy Vellu.

Pembangunan pelan tindakan ini menekankan penyatuan dalam modaliti pelaksanaan yang bertumpu kepada empat tonggak utama iaitu memenuhi keperluan asas, merealisasikan potensi setiap kanak-kanak, meningkatkan pendapatan dan kekayaan serta peningkatan penyertaan sosial.

Najib berkata, pelan tindakan ini bagi merapatkan jurang antara kumpulan etnik dalam pencapaian pendidikan dan memastikan tahap pencapaian pendidikan minimum tercapai untuk anak kaum India.

Katanya, sistem meritokrasi diguna pakai kini menjejaskan enrolmen pelajar komuniti India.

Justeru, katanya, intervensi tertentu perlu dilakukan untuk meningkatkan enrolmen pelajar India di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seperti universiti, kolej dan politeknik kepada sekurang-kurangnya tujuh peratus.

“Usaha ini berpaksikan kepada kejayaan kita dalam peningkatan pelajar India di politeknik kerajaan sebanyak 10 peratus daripada jumlah keseluruhan dan kolej matrikulasi sebanyak 1,500 pelajar setiap tahun.

“Dari segi pendidikan vernakular pula, saya mengesahkan pendirian kerajaan kita akan memelihara sistem pendidikan sedia ada.

“Kita juga ingin melihat penubuhan prasekolah di setiap sekolah Tamil yang mempunyai bilangan murid mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan menetapkan sasaranmeningkatkan penyertaan kaum India dalam perkhidmatan awam kepada tujuh peratus.

Disiarkan pada: April 24, 2017 @ 8:31am
d