mutakhir

Berjalan atas lautan beku [METROTV]

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Sepang: Perlu berjalan di atas lautan beku selain berdepan dengan risiko ais mencair, merekah serta pecah bila-bila masa saja.

Situasi berkenaan disifatkan cabaran terbesar dihadapi penjelajah negara, Shahrom Abdullah sepanjang menyempurnakan misi Ekspedisi Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B) Rentas Kutub Utara 2017 bersama dua penjelajah iaitu Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin serta Mohd Irwan Yusoff Abdullah.

Ketiga-tiga penjelajah terbabit menamatkan ekspedisi ke titik 90 darjah Kutub Utara jam 5.06 petang, waktu tempatan Khamis lalu (jam 11.06 minit malam waktu Malaysia).

Shahrom, 37, berkata, biarpun berpengalaman berski sejauh 890 kilometer (km) merentas Kutub Selatan Januari tahun lalu, ekspedisi di Kutub Utara berbeza serta sukar dijangka.

“Walaupun perjalanan merentas Kutub Utara hanya 111km berbanding Kutub Selatan yang lebih jauh jaraknya, bagi saya cabaran kali ini lebih hebat dan besar berbanding misi tahun lalu.

“Hal ini kerana, keadaan muka bumi Kutub Selatan adalah daratan berbanding Kutub Utara iaitu lautan beku yang tidak dapat dijangka misalnya, sekiranya ais mencair serta merekah, sekali gus mengundang risiko kepada kami,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.

Tiga penjelajah itu tiba jam 12.17 tengah hari disambut keluarga serta Penasihat KE7B Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof yang juga Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.

Shahrom berkata, sepanjang merentasi lautan itu, mereka hanya berpandukan Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS).

“Kedudukan kami sentiasa berubah memandangkan ais bergerak, malah gerakan ais boleh mencapai 1.5km hingga tiga km pada setiap pergerakan,” katanya.

Katanya, cabaran lain ialah risiko berdepan beruang kutub, namun sepanjang misi itu mereka tidak bertembung dengan haiwan berkenaan.

Disiarkan pada: April 24, 2017 @ 8:39am
d