mutakhir

3,400 sertai Larian Obor Sukan SEA

Rembau: Seramai 3,400 peserta akan menjayakan Larian Obor Sukan SEA Kuala Lumpur dan Sukan Para ASEAN 2017 yang akan bermula 14 Mei hingga pembukaan temasya dwitahunan terbesar itu Ogos depan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya menerima hampir 5,000 permohonan yang mahu menyertai larian namun hanya 3,400 terpilih.

Katanya, sambutan orang ramai dalam larian itu begitu menggalakkan dan mereka bersemangat menjayakan temasya terbesar di rantau ini.

“Obor akan dibawa mengelilingi seluruh negara bermula di Johor Bahru pada 14 Mei depan seterusnya ke destinasi yang ditetapkan.

“Kami harap menerusi larian membangkitkan semangat atlet mencipta kejayaan bagi acara disertai,” katanya selepas merasmikan program KL2017@Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Chembong, semalam.

Bercakap mengenai KL2017@Sekolah, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, program sudah dilaksanakan di 21 sekolah seluruh negara bermula di Perak pada 2 Mac lalu.

“Pengamatan mendapati kesedaran orang ramai terhadap penganjuran Sukan SEA meningkat. Sebaik larian obor dilakukan, kita akan lebih bersemangat sebagai tuan rumah,” katanya.

Menurutnya lagi, KL2017@Sekolah membawa mesej yang penting iaitu menyokong dan memastikan penganjuran temasya kali ini terbaik dalam sejarah.

Disiarkan pada: April 24, 2017 @ 9:07am
d