mutakhir

Stok ikan kembali pulih

Oleh Siti Fatimah Nasir

Kuala Lumpur: Pasar Chow Kit, di sini, terus menjadi pilihan orang ramai untuk membeli barangan keperluan harian kerana harga yang ditawarkan lebih murah jika dibandingkan dengan pasar lain di sekitar ibu kota.

Tinjauan Harian Metro di pasar itu mendapati harga barangan basah seperti ayam, ikan dan daging dijual mengikut harga pasaran semasa dan tidak berlaku kenaikan harga walaupun cuti umum, semalam.

Harga barangan mentah seperti ayam dijual pada harga RM8 sekilogram (kg) manakala daging pula dijual pada harga RM20 (kg).

Selain itu, harga ikan seperti ikan selar dijual pada harga RM8 (kg), ikan kerisi RM12 (kg), ikan sardin RM7 (kg), ikan tongkol RM8 (kg), ikan merah RM28 (kg) dan ikan keli dijual pada harga RM6 (kg).

Mengulas lanjut, penjual ikan yang ingin dikenali sebagai Khairi, 35, berkata, minggu ini harga ikan dijangka turun jika dibandingkan pada minggu lalu.

“Minggu lalu, bekalan ikan sedikit disebabkan hujan yang tidak menentu dan nelayan tidak mendapat hasil tangkapan yang banyak di laut.

“Tetapi kini, stok bekalan ikan sudah kembali bertambah dan disebabkan hari ini (semalam) cuti umum, kita tawarkan harga yang murah untuk habiskan jualan ikan kerana orang ramai kerap datang di sini ketika cuti,” katanya.

Sementara itu, seorang pesara yang ingin dikenali sebagai Razali, 66, berkata, harga bahan mentah di sini tidak boleh dijangka. Kadang-kadang harganya naik dan kadang-kadang turun.

“Tetapi kebiasaannya, jika harga bahan mentah di sini naik, ia hanya akan naik sekitar RM3.

“Walaupun harga bahan mentah di sini naik, saya tetap membelinya kerana harga bahan mentah di sini boleh dikatakan murah berbanding pasar di tempat lain yang menawarkan harga yang jauh lebih mahal,” katanya.

Disiarkan pada: April 25, 2017 @ 3:18am
d