mutakhir

Tabur bakti cuci masjid

Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: Rezeki melimpah-ruah selepas mencipta kejayaan dalam bidang khidmat pembersihan mendorong anak jati Kampung Londang, Masjid Tanah, dekat sini, menabur bakti kepada masjid dan surau di tempat kelahirannya.

Alias Ibrahim, 52, sanggup berkorban tenaga dan masa membersihkan Masjid al-Ehsan, Surau al-Hidayah dan Surau al-Khairiyah di kampung berkenaan secara percuma untuk berbakti kepada agama, sekali gus membolehkan anak kariah beribadat dengan lebih selesa.

Ketua Pegawai Eksekutif Rumpun Serai Resources (RSR) itu berkata, dia dan isteri, Zulaikha Ali, 49, serta dua anak mereka, Haris, 27, dan Nur Amelina, 25, dibantu beberapa pekerja memulakan kerja pembersihan di masjid itu mulai jam 8 pagi.

“Saya menggunakan pengalaman terbabit dalam perkhidmatan pembersihan hospital selama lebih 20 tahun untuk menubuhkan syarikat ini dan Alhamdulillah, sekarang kami mempunyai kontrak pembersihan yang baik.

“Kami membuat kerja kebajikan ini sebagai infaq kepada masjid dan dua surau di kampung sendiri sejak dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui di masjid itu, semalam.

Menurutnya, RSR yang ditubuhkan lima tahun lalu memiliki kontrak pembersihan bangunan swasta di Putrajaya, Subang Jaya, Bangsar dan Damansara.

Alias dan keluarganya menetap di Seremban 2 pulang ke rumah keluarganya di Kampung Londang berkata, dia mula membersihkan masjid dan kedua-dua surau berkenaan sekali setahun, bermula 2015.

Dia berkata, mereka sekeluarga tidak kisah memerah keringat membersihkan tandas, permaidani dan lantai jubin sebagai tanda kesyukuran kepada Allah atas kejayaan perniagaan selama ini.

“Bahan kimia yang digunakan untuk membersihkan lantai dan permaidani harus mempunyai Helaian Data Keselamatan Bahan (MSDS), bagi memastikan ia tidak menimbulkan kesan negatif ke atas jemaah masjid dan surau.

“Selain itu, syarikat juga sedia membimbing ahli jawatankuasa masjid dan surau yang berminat mendalami ilmu pengetahuan mengenai bahan pembersihan serta peralatan digunakan dalam kerja pembersihan dan penyelenggaraan kebersihan dengan betul,” katanya.

Tambahnya, pengetahuan itu penting kerana penggunaan bahan pembersihan yang tidak tepat akan menyebabkan pembaziran wang, tenaga dan masa.

Disiarkan pada: April 25, 2017 @ 3:45am
d