mutakhir

Sebar mesej positif [METROTV]

Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Peristiwa Israk Mikraj yang menjadi sejarah penting kepada seluruh umat Islam turut diraikan melalui sambutan khas pada setiap tahun bagi meningkatkan lagi penghayatan dan kefahaman di sebalik peristiwa berkenaan.

Antara sambutan yang dilakukan ialah mengadakan ceramah agama untuk mendekatkan lagi umat Islam serta mengajak mereka mengingati peristiwa yang penuh dengan hikmah dalam meningkatkan keimanan kepada kekuasaan Allah SWT.

Sempena sambutan itu, semalam, hampir 500 penduduk di Perumahan PDRM, Taman Miharja, Cheras, di sini, turut berkumpul bersama-sama bagi mendengar ceramah agama daripada penceramah jemputan istimewa, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat menerusi ceramah bertajuk Bebas Dadah Masyarakat, Ummah Perlu Bersatu.

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan PDRM, Muhamad Amin Ahmad, sambutan itu bukan saja memperingati peristiwa penting bagi umat Islam, malah menjadi satu kemestian untuk mengajak seluruh masyarakat berkumpul dalam majlis ilmu yang boleh memberi manfaat kepada kehidupan mereka.

Katanya, persatuan penduduk juga sentiasa aktif dan tidak ketinggalan untuk mengadakan sambutan berkenaan, di samping menyebarkan mesej mengenai penyalahgunaan dadah yang selari dengan tema ceramah agama pada kali ini.

“Bagi kami, aktiviti dan sambutan Israk Mikraj ini penting kerana ia bukan saja menjadi landasan untuk mengumpulkan semua umat Islam, malah menyebarkan mesej penting kerana pada kali ini kita menekankan mengenai isu penyalahgunaan dadah.

“Memandangkan ia adalah isu yang menjadi masalah dalam masyarakat, kita mahu meningkatkan lagi kesedaran orang ramai di sini supaya mesej sampai menerusi pengisian rohani dalam ceramah agama ini,” katanya.

Hadir sama pada program itu, Setiausaha UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Mehdar Syed Abdullah.

Selain itu, Muhamad Amin berkata, walaupun isu dadah masih dianggap terkawal di kawasan perumahan itu, pihaknya sentiasa bergiat aktif untuk menjalankan aktiviti pencegahan khususnya dalam kalangan remaja.

“Contohnya, program hari ini juga kita bekerjasama dengan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) bagi menyampaikan mesej kesedaran dalam isu dadah. Walaupun isu dadah di sini dilihat masih terkawal, sesuatu perlu dilakukan supaya ia tidak merebak.

“Kita juga berharap apa saja ilmu yang disampaikan menerusi ceramah agama ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat yang menghadirinya,” katanya.

Disiarkan pada: April 25, 2017 @ 4:07am
d