mutakhir

Rempuh sampai 4x4 terbalik

Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

Kuala Lumpur: Tindakan seorang pemandu kereta memandu melulu di Jalan Kuching di sini, mengundang padah apabila kenderaan itu merempuh sebuah pacuan empat roda hingga terbalik.

Dalam kejadian jam 3 petang semalam, pemandu kereta model Perodua Myvi itu tidak mengalami sebarang kecederaan biarpun kereta dipandunya remuk teruk di bahagian hadapan.

Ranger Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Zul-Atfi Abdul Wahid Amin berkata, dia bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 3.05 petang.

“Setibanya di lokasi, terdapat dua kenderaan terbabit dalam kemalangan itu. Kedua-dua pemandu kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan akibat pelanggaran itu.

“Pemandu pacuan empat roda itu berjaya keluar sendiri dari dalam kenderaan walaupun dalam keadaan terbalik,” katanya.

Menurutnya, dia bergegas memberikan bantuan dengan mengalihkan kedua-dua kenderaan ke bahu jalan bagi melancarkan keadaan lalu lintas.

“Pacuan empat roda yang terbalik itu terpaksa ditarik menggunakan pacuan empat roda Ranger DBKL berikutan ia melintang di jalan itu.

“Anggota polis trafik yang berada di lokasi turut mengawal keadaan di lokasi kejadian,” katanya.

Zul-Atfi berkata, kes kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: April 26, 2017 @ 7:01am
d