mutakhir

Kasihan si jingga

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kajang: Seorang anggota bomba sanggup merangkak lebih 20 minit di dalam longkang bertutup semata-mata mahu menyelamatkan kucing yang terperangkap.

Dalam kejadian jam 5.30 petang semalam, anak kucing berwarna jingga itu dikatakan gagal keluar dari dalam longkang di Taman Pelangi Semenyih 2, di sini.

Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pemilik haiwan itu jam 5.45 petang semalam.

“Pemilik kucing memaklumkan haiwan peliharaannya itu terperangkap di dalam longkang tertutup itu.

“Buntu untuk menyelamatkan anak kucing itu, pemiliknya menghubungi bomba selepas gagal membawa keluar haiwan itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih bergegas ke lokasi itu sebelum tiba jam 5.50 petang.

“Pihak kami membuka penutup longkang dan masuk ke dalam saluran longkang berkenaan yang hanya boleh memuatkan seorang individu dalam satu masa.

“Selepas 20 minit berikhtiar, anak kucing itu akhirnya berjaya dibawa keluar sebelum diserahkan kepada pemiliknya,” katanya.

Disiarkan pada: April 26, 2017 @ 7:05am
d