mutakhir

Makam Sultan Kedah ke-16 pula ditemui

Oleh BERNAMA

Alor Setar: Selepas penemuan makam Sultan Kedah ke-14, Sultan Muhyiddin Mansur Shah bulan lalu, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) menemui pula satu lagi makam berusia 330 tahun, dipercayai milik Sultan Kedah ke-16, Sultan Ataullah Muhammad Syah II di Bukit Pinang dekat sini.

Sembilan kubur bersama batu nisan itu ditemui ahli PSMCK, Zamri Abd Wahab, pada 23 Mac lalu dan ia terletak di tepi sungai di Kampung Bukit Pinang dekat sini.

Semua makam berkenaan yang tersusun rapi dalam satu barisan, seolah-olah dipayungi oleh rumpun buluh yang merimbun di kawasan berkenaan, menurut pengamatan wartawan yang berkesempatan ke lokasi penemuan.

Ketua Biro Penerbitan dan Pemasaran yang juga Pengarang Kehormat PSMCK, Dr Ibrahim Bakar berkata, semua ukiran nisan berkenaan menunjukkan ia berasal dari Aceh, Indonesia dan kebiasaannya hanya digunakan oleh golongan bangsawan dan kerabat diraja.

“Malah melihat kepada reka bentuk nisan ini, ia sangat menyerupai batu nisan yang kita temui pada makam Sultan Kedah ke-14 Sultan Muhyiddin Mansur Syah baru-baru ini di Kampung Chegar, Tunjang,” katanya.

Menurutnya, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah karya Muhammad Hassan Muhammad Arshad pada 1928 ada menceritakan mengenai tiga Sultan Kedah yang bersemayam di Bukit Pinang iaitu Sultan Ataullah (1687-1698), Sultan Abdullah Muadzam Shah (1698-1706) dan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah I (1706-1709).

Disiarkan pada: April 26, 2017 @ 7:22am
d