mutakhir

Dugaan disapa kanser tahap empat

Oleh Nursyahirah Marzuki

Sepang: “Walaupun suami terlantar, saya berjanji akan menjaga hingga akhir hayatnya kerana dia sudah banyak berkorban untuk keluarga terutama dalam membesarkan sembilan anak kami yang berusia dua hingga 24 tahun.”

Itu luahan Rohani Abu Bakar, 41, isteri kepada Abdul Kadir Ibrahim, 58, yang kini terlantar selepas disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat sejak tahun lalu.

Ibu sembilan anak itu berkata, dia tidak menyangka suami yang menjadi tulang belakang keluarga kini tidak lagi mampu bergerak sejak menghidapi penyakit berkenaan.

“Pada awalnya, suami hanya mengadu sakit belakang, tetapi selepas membuat pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), suami disahkan menghidap kanser tahap empat.

“Saya tidak sangka perkara ini berlaku kepada suami saya kerana dia seorang yang sihat dan tidak menunjukkan sebarang tanda sakit sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada Program Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Prihatin bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil Shahrum Mohd Sharif, di sini, semalam.

Hadir sama Pengurus Pejabat PERKESO Kajang Thavamani Ramalingam.

Berikutan lawatan itu, Abdul Kadir menerima bantuan alat pemulihan dari PERKESO seperti lampin pakai buang dan ‘ripple mattress’ selain bantuan bulanan RM1,054 bagi membantu meringankan bebanan keluarga itu.

Katanya, dia terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan untuk menjaga suaminya dan hanya bergantung dengan bantuan daripada pusat zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyara keluarga.

Rohani berkata, sebelum ini, suaminya seorang yang ceria dan sentiasa bergurau senda dengan anak-anak menjadikan rumah mereka meriah dengan hilai tawa.

Namun kini, katanya, suasana amat berbeza memandangkan suaminya tidak mampu bercakap banyak dan bergurau kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Disiarkan pada: April 27, 2017 @ 5:40am
d