mutakhir

Perkasa peranan tokoh agama

Oleh myMetro

Bangi: Jawatankuasa Kesatuan Ulama perlu diwujudkan untuk mengembalikan semula kegemilangan institusi ulama serta memperkasakan lagi peranan tokoh agama itu.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, ulama mesti bersatu dalam semua perkara berdasarkan al-Quran dan hadis, tanpa mementingkan kepentingan diri bagi merealisasikan cadangan itu.

Beliau berkata, ini kerana peranan ulama menjadi semakin besar dan mencabar dalam menghadapi pelbagai ancaman dari pelbagai sudut terutama kemajuan teknologi maklumat (IT) menjadikan peranan ulama semakin terpinggir.

“Segelintir umat Islam lebih gemar untuk mendapatkan ilmu agama menerusi Internet tanpa merujuk kepada orang berkelayakan (ulama) sehingga menimbulkan kecelaruan pemikiran dan ideologi songsang.

“Ini bercanggah daripada pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Tokoh Ulama Melayu Nusantara 2017 (PAnTUMN 2017) di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bandar Seri Putra, di sini, semalam.

PAnTUMN kali kedua itu bertajuk Peranan dan Cabaran Ulama Dalam Institusi Islam di Nusantara berjaya menghimpunkan lebih 30 pembentang akademik dalam pelbagai bidang dari luar negara seperti Brunei dan Indonesia.

Disiarkan pada: April 27, 2017 @ 5:53am
d