mutakhir

Sejuta anggota APM

Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Cadangan kemasukan 1 juta penjawat awam menyertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mampu memberi impak positif dalam usaha menangani isu perlanggaran undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihaknya melihat banyak keperluan untuk menambah bilangan anggota sukarela APM dari semasa ke semasa.

Katanya, kehadiran anggota sukarelawan APM membantu anggota penguat kuasa tetap menjalankan tugas dengan lebih berkesan.

“Sebagai contoh, kita tempatkan 500 hingga 1,000 anggota APM di Pasar Borong Selayang setiap hari. Apabila kita mula menyertai pasukan penguat kuasa di Selayang, kesannya cukup baik.

“Saya dimaklumkan kadar jenayah di Pasar Selayang agak tinggi. Sekiranya kita hadir dalam jumlah ramai, kita akan lebih mudah melaksanakan undang-undang,” katanya pada majlis pemakaian pangkat kehormat di Parlimen, di sini, semalam.

Majlis dihadiri Ketua Pesuruhjaya APM Mejar Jeneral (B) Datuk Azmy Yahya.

Menurutnya, ketika ini jumlah keanggotaan APM dijangka meningkat kepada 2 juta dan pihaknya bersedia membantu agensi penguat kuasa lain melaksanakan undang-undang.

Katanya, pihaknya juga menawarkan bantuan keanggotaan seramai 10,000 orang di beberapa agensi kerajaan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Pada majlis sama, Pengarang Berita (Jenayah) Harian Metro Mohd Jamilul Anbia Md Denin dianugerahkan pangkat Leftenan Kehormat APM.

Shahidan berkata, penganugerahan itu bertujuan memberi pengiktirafan kepada pengamal media termasuk Harian Metro yang sentiasa membantu menyalurkan maklumat peranan APM kepada masyarakat.

Katanya, pelantikan ini untuk menzahirkan pembabitan media ke arah kesejahteraan masyarakat menerusi tugas sukarelawan dan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan serta bencana.

Disiarkan pada: April 27, 2017 @ 5:57am
d