mutakhir

Tubuh kerdil berjiwa besar

Oleh Siti Nadzirah Che Mud

Machang: Biarpun memiliki susuk tubuh kerdil, ia sama sekali tidak menghalangnya untuk menggenggam segulung ijazah seperti graduan lain pada Istiadat Konvokesyen ke-86 Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan, di sini, semalam.

Mohd Sahrizal Saudi, 35, yang juga Penolong Jurutera Majlis Daerah Ketereh berjaya membuktikan kekurangan dirinya menjadi pendorong kepadanya untuk menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan (Kewangan) dengan Kepujian menerusi program Pengajian Jarak Jauh (PJJ).

Anak keempat daripada lima beradik itu yang memperoleh Nilai Gred Purata Kumulatif (CGPA) 2.92 berkata, pengorbanan dari segi masa dan tenaga selama lima tahun akhirnya berbaloi apabila menerima ijazah itu.

Katanya, bekerja sambil belajar bukanlah sesuatu yang mudah, banyak yang perlu dikorbankan tambahan mempunyai kekurangan diri berbanding insan normal lain.

“Namun, saya bersyukur kerana sentiasa dikelilingi ibu bapa, rakan, serta pensyarah yang banyak memberikan kata-kata semangat dan membantu sepanjang pengajian.

“Walaupun sibuk dengan kerja, tugasan diberikan pensyarah tidak pernah saya abaikan dan saya menggunakan masa terluang selepas bekerja untuk menyiapkannya dalam tempoh ditetapkan. Saya berhasrat meneruskan pengajian ke peringkat sarjana sekiranya menerima tawaran untuk menyambung pelajaran,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seramai 1,291 graduan menerima ijazah sarjana muda dan diploma yang disampaikan Pro-Canselor UiTM Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad di Dewan Profesional UiTM, cawangan Kelantan, semalam.

Disiarkan pada: April 27, 2017 @ 6:00am
d