mutakhir

Ibarat tumpang rumah sendiri

Oleh Asrizal Aris

Ampang: Lebih 400 pemilik unit rumah di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, di sini, buntu selepas dokumen hak pemilikan rumah yang dibeli sejak 33 tahun lalu, tidak diberi oleh pihak pemaju sehingga kini.

Perkara itu menyebabkan pemilik unit sukar untuk membuat pertukaran hak milik dan urusan jual beli memandangkan ramai antara mereka sudah berusia, uzur dan ada yang sudah meninggal dunia.

Lebih menyulitkan, pihak pemaju enggan memberi kerjasama sejak lebih sepuluh tahun lalu dan didakwa bertindak memutarbelitkan keadaan dengan campur tangan pihak luar.

Penduduk Taman Kelab Ukay, Datuk Mazlan Mohamed Din berkata, beliau antara pembeli unit terawal di taman itu pada tahun 1984 yang berdepan pelbagai masalah berkaitan pembelian rumah di situ termasuk projek terbengkalai selama 12 tahun sebelum ia disiapkan.

Katanya, meskipun pembeli unit diberi kunci untuk memasuki rumah pada 1996, pemilik masih belum boleh menarik nafas lega kerana tidak diberikan sebarang dokumen sebagai hak milik.

“Kami sudah adukan perkara ini sejak 20 tahun lalu kepada semua pihak berwajib termasuk kerajaan negeri supaya membantu mendapatkan hak kami, namun tidak diselesaikan sehingga sekarang.

“Ia seolah-olah pihak yang ada kuasa dalam perkara ini dikawal oleh pemaju yang mengaut banyak keuntungan melalui pelbagai projek di kawasan ini.

“Kami ibarat menumpang di rumah sendiri. Hendak wakaf dan wasiatkan rumah kepada badan amal pun berdepan masalah,” katanya ketika membuat perjumpaan bersama penduduk di Taman Kelab Ukay, di sini, semalam.

Menurutnya, kemudahan disediakan kepada penduduk yang juga ahli Kelab Ukay seperti kolam renang, dewan dan fasiliti lain turut digadai pemaju dan diserahkan kepada agensi lain untuk mengendalikannya.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kelab Ukay, Syed Zulkifli Syed Masir berkata, taman itu seluas 30 hektar membabitkan 447 rumah dengan pelbagai jenis seperti banglo, rumah berkembar, teres dan pangsapuri yang kebanyakan sudah habis dibayar pemilik.

Katanya, selepas berurusan dengan pelbagai pihak, difahamkan pemaju perlu membayar RM12 juta kepada pejabat tanah untuk meluluskan pemilik mendapatkan hak pemilikan rumah dan CF.

“Kami hanya minta pihak berwajib dan kerajaan negeri membantu kami untuk memudahkan urusan mendapatkan hak pemilikan individu kerana pemaju boleh membuat apa saja terhadap rumah kami.

“Pemaju seperti ada agenda lain terhadap kawasan ini dengan bertindak menukar nama syarikat beberapa kali serta memberi kami dokumen palsu dan pelbagai helah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Norhayati Ahmad berkata, berdasarkan semakan untuk Taman Kelab Ukay, unit rumah di situ sudah mempunyai CF.

Bagaimanapun, katanya, hak milik strata individu masih belum dikeluarkan kerana untuk hak milik itu pemaju perlu memohon sendiri kepada Pejabat Tanah dan pihak MPAJ tidak mempunyai kuasa berkaitan perkara itu.

Disiarkan pada: April 28, 2017 @ 5:22am
d