mutakhir

'Usah perlekeh kami'

Oleh Nazdy Harun

Marang: “Saya tidak tahu dari mana portal ini mendapat maklumat dengan mendakwa nelayan di Merchang hanya meraih pendapatan RM400 sebulan dan ia seolah-olah memperlekeh kami,” kata Osman Hussin, 52, nelayan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pendapatan RM400 sebulan seperti yang didakwa portal berita itu seperti merendahkan imej mereka kerana walaupun pendapatan sebagai nelayan tidak menentu tetapi ia tidak seperti yang digambarkan.

Katanya, sebagai contoh dia yang menjadi nelayan sejak berusia 15 tahun kini mampu memperoleh pendapatan bersih hingga RM1,500 sebulan.

“Sebagai nelayan, kita perlu rajin dan memanfaatkan sebaik mungkin musim antara April hingga Oktober untuk mencari rezeki dan pendapatan RM400 seperti yang diperkatakan portal itu mungkin bagi nelayan yang sudah mempunyai pekerjaan lain dan sesekali turun ke laut,” katanya.

Rakan nelayannya, Mohd Nasir Salleh, 45, berkata, dia sendiri mampu memperoleh RM3,000 sebulan hasil menjadi nelayan dan usaha memburuk-burukkan imej nelayan di kawasan itu tidak harus dilakukan.

“Bagi yang rajin mencari rezeki tentu ada hasilnya dan saya mewakili lebih 100 nelayan di kawasan Merchang menafikan dakwaan pendapatan nelayan di sini, hanya RM400 dan ia sama sekali tidak logik kerana peruntukan membeli minyak saja lebih daripada RM400 sebulan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Zawawi Ali berkata, pihaknya ada melihat dakwaan yang dibuat portal berita berkenaan yang jelas tidak tepat dan mengelirukan.

“Pelbagai kaedah dirangka kementerian berkaitan dan jabatannya dalam meningkatkan pendapatan nelayan bukan hanya di Merchang, malah di seluruh negeri dan melalui kajian yang dilakukan mendapati pendapatan nelayan paling rendah adalah RM750 sebulan.

“Zaman sekarang mana ada lagi nelayan yang mendapat RM400, itu cerita lama dan zaman sudah berubah. Sekiranya ada yang memperoleh RM400 pun mereka mempunyai pekerjaan lain dan menjadikan nelayan sebagai sumber pendapatan tambahan mereka.

“Kementerian meletakkan sasaran pendapatan nelayan antara RM1,500 hingga RM2,000 menjelang 2020 tetapi pihaknya menyasarkan pendapatan tiga tahun akan datang iaitu boleh mencecah RM5,000 sebulan.

“Saya beranggapan begitu kerana pendapatan nelayan kini sudah ada yang mencecah RM1,500 walaupun tidak semua dan tidak mustahil pada 2020 angka itu akan meningkat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zawawi berkata, April hingga Oktober adalah musim mencandat sotong dan buat masa ini hanya 86 bot yang mempunyai kelulusan Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut Malaysia untuk membawa penumpang bagi melakukan aktiviti itu di negeri berkenaan.

Menurutnya, pihaknya menasihati orang ramai yang ingin melakukan aktiviti mencandat supaya memilih bot yang mempunyai kelulusan daripada dua jabatan itu bagi mengelak sebarang tindakan.

Disiarkan pada: April 28, 2017 @ 5:41am
d