mutakhir

Layan lalok sampai tua

Oleh Nor Amalina Alias 

Bachok: Seorang guru seni mempertahankan diri Muay Thai berpura-pura mengucap beberapa kali selepas ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bachok, di sini, kelmarin.

Lelaki berusia 60 tahun itu antara 25 orang yang ditahan disyaki penagih dadah dalam sekatan jalan raya bersama Kumpulan Rukun Tetangga (KRT) di Kampung Rengas bermula jam 11 malam kelmarin sehingga 5 pagi semalam.

Ketua Unit Penguatkuasaan AADK Bachok, Muhammad Rostam Mohd Aluwi berkata, lelaki itu adalah penagih tertua yang ditahan membabitkan penagih berusia 21 hingga 60 tahun.

Katanya, pada mulanya guru itu memberi pelbagai alasan untuk mengelakkan air kencingnya diambil namun selepas dipujuk akhirnya dia setuju untuk berbuat demikian.

“Ujian air kencing yang dijalankan mengesahkan lelaki itu positif dadah jenis methampetamine dan hasil soal siasat dia mengaku mengambil pil kuda dua hari lalu.

“Lelaki itu mengaku mula mengambil pil kuda sejak empat tahun lalu kerana tekanan hidup dan masalah keluarga,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Menurutnya, selepas ujian air kencing dijalankan, seramai 10 daripada 25 penagih yang ditahan positif pil kuda dan mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (APD) 1983.

Disiarkan pada: April 28, 2017 @ 5:51am
d