mutakhir

Salah sangka pintu ditendang [METROTV]

Oleh Zulfa Mohamad

Kepala Batas: “Saya ingatkan ada operasi (Jabatan Imigresen) sebaik pintu rumah kongsi kami ditendang lalu bergegas mengambil kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), namun rupa-rupanya berlaku kebakaran,” kata pekerja kilang kayu palet di Jalan 2, dekat sini, yang terbakar, pagi semalam.

Sebelum kejadian jam 6.20 pagi, pekerja etnik Rohingya berusia 20-an itu tidur bersama 10 pekerja lain dalam rumah kongsi tidak jauh dari kilang berkenaan.

Pekerja yang enggan dikenali itu berkata, dia terjaga sebaik pintu ditendang dan menyangka Jabatan Imigresen membuat operasi sebelum diberitahu berlaku kebakaran di stor yang menempatkan kayu palet.

“Ketika itu tiada sesiapa dalam kilang kerana operasi kilang bermula jam 8.30 pagi hingga 12 tengah malam.

“Saya bersama rakan bergegas ke kilang dan mendapati api marak di bahagian stor yang menempatkan kayu palet.

“Kami hanya mampu melihat api marak memusnahkan kayu palet dan dua forklift,” katanya.

Difahamkan, kebakaran kilang itu yang mempunyai 200 pekerja, semalam adalah kali kedua dalam tempoh tiga tahun.

Sementara itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas diketuai Penguasa Bomba Kanan II Rusnani Abu Seman bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 6.24 pagi.

Jurucakap bomba berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati api marak di bahagian stor yang menempatkan kayu palet.

“Menerusi bantuan jentera dari Bertam serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kepala Batas, api berjaya dikawal jam 7.09 pagi.

“Tindakan pantas bomba mengelakkan api merebak ke bahagian lain dalam kilang yang menempatkan ratusan kayu palet,” katanya.

Disiarkan pada: April 28, 2017 @ 6:11am
d