mutakhir

Fenomena air pasang

Oleh Mohd Shukor Amin dan Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Seramai 62 mangsa daripada 19 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Pasangan, Kuala Selangor selepas kediaman mereka dinaiki air sejak kelmarin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, mangsa yang dipindah membabitkan penduduk Kampung Tanjung Buah dan Kampung Tanjung Siam selepas kediaman mereka dinaiki air akibat fenomena air pasang besar.

“Sehingga petang tadi (semalam), semua mangsa ialah 11 lelaki dewasa, 15 wanita dewasa, 15 kanak-kanak lelaki, selain enam kanak-kanak perempuan dan seorang bayi perempuan.

“Selain itu, tiga lelaki dan lapan wanita orang kurang upaya (OKU) serta tiga warga emas lelaki dan lapan warga emas wanita turut dipindahkan ke pusat pemindahan berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, usaha pemindahan mangsa dilakukan oleh Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya, Kuala Selangor dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Mohd Sani berkata, pihaknya turut menjalankan pemantauan fenomena air pasang itu di sekitar Kampung Teluk Penyamun dan Kampung Asahan.

Sementara itu, beberapa kawasan di Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, turut dinaiki air berikutan fenomena berkenaan, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, dua kawasan iaitu di Jalan Bagan 1 dan Jalan Bagan 2 dilimpahi air laut setinggi 0.2 meter.

Penduduk, Zamzarina Iaini, 34, berkata, kejadian fenomena itu dianggap biasa bagi penduduk sekitar kawasan berhampiran Pantai Bagan Nakhoda Omar.

“Penempatan kami sememangnya rendah sehingga menyebabkan kawasan ini mudah dinaiki air. Kemuncak fenomena air pasang itu berlaku jam 5.30 petang semalam (kelmarin) hingga mengakibatkan laluan di kedua-dua jalan dipenuhi air laut.

“Ia dijangka berlaku lagi, namun saya berharap ia tidak disertai dengan hujan lebat dan angin kuat,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Ubudiah Kampung Simpang 4, Roslee Hashim berkata, air pasang mulai surut jam 6.30 petang dan tiada penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.

Disiarkan pada: April 29, 2017 @ 5:36am
d