mutakhir

Tiada lagi pelajar 'ghaib' dari SBJK

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Suatu ketika dulu Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) yang terletak di Lorong Haji Husein, Chow Kit dianggap asing bagi anak jalanan dan terpinggir sehingga ada segelintir daripada mereka ‘menghilangkan diri’ selepas beberapa minggu dihantar bersekolah di situ.

Namun kini memasuki tahun keempat penubuhannya, sekolah berkenaan bukan saja menjadi rumah kedua mereka, malah tidak pernah ‘sunyi’ dengan kehadiran pelbagai pihak yang menghulurkan sumbangan.

Ternyata perhatian yang diberikan terhadap golongan berkenaan menjadi penyuntik semangat sehingga berjaya mengubah diri mereka menjadi individu lebih baik dan cemerlang.

Menurut Pengetua SBJK, Zulkernai Fauzi, tiada lagi masalah pelajar tidak datang ke sekolah atau menghilangkan diri kerana berasa ‘asing’ dengan keadaan di sekolah berkenaan.

“Mereka kini lebih gembira untuk hadir ke sekolah kerana terdapat pelbagai aktiviti dan program yang dianjurkan orang luar sama ada agensi kerajaan, badan korporat mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Beliau berkata, lebih membanggakan apabila bekas pelajar sekolah terbabit mampu menjalani kehidupan lebih baik, sekali gus mengubah nasib keluarga mereka selepas berjaya mendapat pekerjaan tetap.

“Dengan kelulusan akademik yang dimiliki, mereka berjaya mendapat pekerjaan dengan gaji tetap malah mampu menyara diri sendiri serta keluarga,” katanya.

Katanya, beberapa pasar raya terkemuka turut menyediakan latihan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah berkenaan bagi membuka peluang pekerjaan lebih baik.

“Ada juga NGO yang datang memberikan kelas tuisyen SPM kepada 11 calon SBJK tahun ini pada setiap hari Rabu.

“Alhamdulillah, sedikit sebanyak ia membantu mereka untuk mencatat keputusan peperiksaan cemerlang,” katanya.

Disiarkan pada: April 29, 2017 @ 5:40am
d