mutakhir

'Rezeki anak saya'

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Kota Tinggi: Kediaman datuk Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghadaffi, 11, yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada Rabu lalu terus dikunjungi orang ramai untuk mengadakan aktiviti bacaan Yasin dan tahlil secara berkumpulan.

Tinjauan Metro Ahad di kediaman datuknya, Ahmad Motai, 66, di FELDA Bukit Aping Timur, di sini, mendapati rumah berkenaan sentiasa terbuka menerima kunjungan orang ramai.

Ibu Allahyarham Mohamad Thaqif, Felda Wani Ahmad, 40, berkata, sudah menjadi rezeki anaknya apabila pelbagai pihak tampil mengadakan majlis tahlil dan membaca Yasin sejak Allahyarham meninggal dunia pada jam 2.05 petang, Rabu lalu.

Katanya, majlis kenduri arwah anaknya akan diadakan selama tujuh hari berturut-turut.

“Kami adik beradik juga berkumpul untuk majlis bacaan Yasin dan tahlil setiap malam,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Johor Bahru merangkap Setiausaha Kehormat Majlis Belia Johor Mohd Alif A Rahim berkata, dia bersama sekumpulan 12 ahli hadir ke kediaman berkenaan bagi menziarahi serta mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yasin.

“Pada masa sama, kami menyampaikan sumbangan untuk diberikan kepada keluarga murid berkenaan termasuk dari Majlis Belia Johor, Angkatan Belia Islam Malaysia Johor dan Belia 4B Pasir Gudang,” katanya.

Mohamad Thaqif meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Sultan Ismail akibat jangkitan kuman. Dia dimasukkan ke hospital kerana tidak sihat selepas dilaporkan disebat pembantu warden asrama madrasah.

Kedua-dua belah kakinya turut dipotong bagi mengelak jangkitan kuman pada bahagian lain tubuhnya.

Keterangan gambar:

1.PELAJAR tahfiz mengadakan majlis bacaan yasin dan tahlil.

2.FELDA Wani

tamat/sabran.

Disiarkan pada: April 30, 2017 @ 6:33am
d