mutakhir

21,244 kes

Oleh Zairee Mohd Yasak

Melaka: Sebanyak 21,244 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak membabitkan kesalahan rogol, sumbang mahram, seks luar tabii dan cabul direkodkan di seluruh negara dalam tempoh tujuh tahun sejak 2010.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Datin Chew Mei Fun berkata, jumlah tinggi itu direkodkan disebabkan masyarakat mulai sedar mengenai kes membabitkan kanak-kanak yang kini seramai satu pertiga atau 10.63 juta daripada jumlah penduduk negara ini.

“Pembabitan semua pihak terutama komuniti dalam memberikan sokongan, intervensi atau keterlibatan bersama dalam usaha mencegah jenayah seksual menjadi kaedah terbaik membendung peningkatan kes yang menjadi isu universal kerana berlaku di seluruh dunia.

“Bagi merealisasikan kesungguhan kerajaan dalam membendung masalah semakin kritikal ini, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 pada 4 April lalu,” katanya selepas merasmikan Seminar Kesedaran Keselamatan Kanak-Kanak 2017, di Air Keroh, di sini, semalam.

Disiarkan pada: April 30, 2017 @ 6:51am
d