mutakhir

Mohon tapak pertanian baru

Oleh Norzamira Che Noh

Klang: Seramai 22 pekebun Kampung Johan Setia, di sini, memohon campur tangan Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan pampasan atau ruang tapak pertanian baru bagi membolehkan mereka terus memperoleh sumber pendapatan.

Wakil pekebun kampung itu D Sivakanthan berkata, mereka terpaksa menyerahkan 101 hingga 113 hektar daripada 182 hektar kebun bagi pembangunan Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di kawasan itu.

“Kami sudah mengusahakan tanah itu sejak 30 tahun lalu atas kebenaran Jabatan Pertanian Klang menerusi program revolusi hijau dan tiada pemilik tanah tampil mengusahakannya selain kami sehingga kini.

“Selain itu, kami kecewa pusat jualan hasil pertanian yang baharu belum diluluskan oleh pihak berkuasa sedangkan tapak lama sudah dirobohkan. Kami pelik mengapa tempat berniaga diruntuhkan sedangkan projek LRT3 belum bermula” katanya ketika ditemui ketika membuat demonstrasi aman di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan 99 Kebajikan Insan Selangor (99 Kesan) Muhd Ali Zakaria.

Difahamkan, tanah itu adalah hak milik persendirian dan individu berkenaan sudah menerima pampasan berikutan pengambilan tanah bagi projek LRT3.

Menurut Sivakanthan yang mewakili kumpulan pekebun itu, mereka memohon kerajaan negeri memberikan tapak baharu, namun masih tiada sebarang keputusan diterima.

Sementara itu, Muhd Ali kecewa dengan kerajaan negeri yang bersikap sambil lewa membantu petani di kampung berkenaan bagi mendapatkan tapak pertanian baru.

“Mereka bergantung hidup dengan hasil pertanian itu sejak sekian lama dan bukan mudah untuk melepaskan kebun yang diusahakan.

“Kita bukan mahu menyalahkan mana-mana pihak, tetapi cuma berharap nasib pekebun itu terbela. Hasil pertanian segar dijual kepada orang awam pada harga murah,” katanya, semalam.

Disiarkan pada: May 1, 2017 @ 7:44am
d