mutakhir

Banjir paling besar!

Oleh Nur Izzati Izzah Nadzi

Kuala Selangor: “Ini antara banjir paling besar akibat fenomena air pasang besar dalam sejarah.”

Kata penduduk Kampung Tanjung Buah, Kampung Tanjung Siam dan Kampung Kuantan di sini, yang dilanda banjir sejak Khamis lalu.

Sehingga petang semalam, seramai 67 mangsa daripada 23 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasangan di sini, berikutan kediaman mereka masih dinaiki air.

Penduduk, Abdul Halim Jonit, 48, berkata Kampung Kuantan sememangnya biasa dilanda banjir, namun tidak seperti kejadian kali ini.

“Jika berlaku banjir, air kebiasaannya akan mula surut pada sebelah petang atau malam. Namun, kini ia berbeza kerana berpunca air pasang besar melalui pertembungan antara air sungai dan laut.

“Walaupun air dalam rumah saya hanya pada paras lutut, ia sudah memenuhi sekitar halaman rumah,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam.

Menurutnya, dia dan isteri bersama enam anak mematuhi arahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berpindah ke pusat pemindahan atas faktor keselamatan.

“Sejak malam Khamis lalu, kami bersetuju untuk berpindah daripada tidur di rumah dalam keadaan bimbang dan tidak selesa,” katanya.

Bagi mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) Samad Mad Salleh, 48, mengakui, masih terkejut dan tidak menyangka banjir besar itu berlaku di kampungnya.

“Kami tidak pernah berpindah ke pusat pemindahan dan ini adalah kali pertama kerana banjir besar.

“Saya dan isteri (Salimah Lamsah, 46) tidak sempat mengalihkan barangan kerana kaki kanan yang kudung menyukarkan diri untuk bergerak,” katanya.

Menurut Samad, isterinya turut sentiasa meninjau keadaan rumah mereka dan bersyukur kerana pelbagai pihak tampil membantu membersihkan kediaman penduduk.

“Saya harap banjir akan surut dan dibenarkan pulang ke rumah,” katanya penduduk Kampung Tanjung Siam itu.

Disiarkan pada: May 1, 2017 @ 7:46am
d