mutakhir

Musibah langgar prosedur

Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Aktiviti program perkhemahan di sebuah resort di Membakut yang membabitkan tiga pelajar lemas dalam kejadian pagi semalam didapati tidak mengikut prosedur ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan berkata, ia berdasarkan hasil laporan diperoleh dan tindakan lanjut hanya boleh ditentukan selepas pihaknya mendapat laporan penuh berhubung kejadian terbabit.

Katanya, laluan diikuti pelajar di resort itu juga didapati tidak ada dalam program disertai 120 pelajar dan 30 guru itu.

“Kami dapati laluan itu tidak ada dalam program. Kita ada prosedur dan semua pihak diingatkan jangan keluar daripada prosedur ditetapkan.

“Ada keperluan untuk mereka patuh kepada prosedur termasuk surat pekeliling dikeluarkan. Bagaimanapun, kami menunggu laporan penuh kes terbabit,” katanya pada sidang media selepas merasmikan prapelancaran sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-46 Tahun 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Pada majlis prapelancaran sambutan Hari Guru itu, Johor terpilih sebagai tuan rumah untuk mengadakan sambutan yang bertemakan Guru Pembina Bangsa Negara iaitu tema sama digunakan dalam majlis pada tahun lalu.

Terdahulu, Kamalanathan diminta mengulas kejadian lemas tiga pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan yang meninggal dunia selepas ditemui lemas ketika menjalani program perkhemahan terbabit.

Kejadian dikatakan berlaku apabila pelajar melakukan aktiviti melalui trek berair pada paras paha, malangnya tiga daripada 120 pelajar terbabit tersasar ke laluan yang dalam lalu lemas.

Mengulas isu lain, Kamalanathan berkata, ibu bapa pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Bukit Beruntung, Rawang menarik balik laporan polis yang dibuat anak mereka akibat tidak berpuas hati selepas dikenakan hukuman memakai kain pelekat dalam kejadian Selasa lalu.

Katanya, perkara itu juga boleh dielakkan pihak sekolah sekiranya mereka mematuhi prosedur ditetapkan kementerian.

Disiarkan pada: May 1, 2017 @ 8:00am
d