mutakhir

Tak 'restu' masuk Syria

Oleh Aizuddin Saad di Gaziantep

Hampa. Itu saja perasaan yang dirasai kami ketika ini selepas tiga hari berurusan dengan pihak Mufti Bandar Kilis untuk memasuki Syria namun jawapan yang diterima sangat menghampakan apabila kami tidak dibenarkan memasuki negara itu oleh kerajaan Turki.

Rombongan kami tidak dibenarkan masuk atas faktor keselamatan berikutan keadaan di Syria masih bergolak.

Berulang alik setiap hari dari Gaziantep ke Kilis dan bertemu pelbagai pihak untuk meyakinkan mereka supaya memberi kebenaran memasuki Syria bukan sesuatu yang mudah.

Rombongan Malaysian Life Line For Syria (MLLFS) berada di Gaziantep seminggu lalu untuk memasuki Syria selepas serangan gas sarin berlaku di Idlib hingga mengorbankan 86 nyawa pada awal April lalu.

Ketua misi yang juga Ketua Pengurusan Media MLLFS, Mohd Aiman Mohd Amir ingin melakukan sesuatu dengan memberi bantuan kemanusiaan terhadap mangsa serangan gas sarin di wilayah Idlib yang masih bergolak.

Namun, cabaran itu bukan semudah yang disangka berikutan pelbagai urusan perlu dilakukan untuk memasuki Syria secara sah.

Pelbagai dokumen perlu diserahkan kepada pihak berkuasa Turki sebelum kata putus diberikan kepada rombongan kami.

Melalui pertemuan dengan Mufti Bandar Kilis, Mahmut Karatepe, Khamis lalu sedikit sebanyak memberi harapan walaupun beliau tidak menjanjikan kebenaran memasuki Syria.

Apa yang pasti, pertemuan itu juga antara langkah pertama dan ruang untuk bekerjasama dengan pihak yayasan bantuan kemanusiaan kerajaan Turki, Turkiye Diyanet Vakfi (TDV) pada masa akan datang.

Mahmut sebelum ini berkata segala dokumen sudah dihantar ke Ankara untuk diproses Kementerian Dalam Negara Turki (Ministry of the Interior).

Bagaimanapun, kami tetap menunggu penuh sabar walaupun mengambil masa sebulan lagi.

Wakil Harian Metro terpaksa berangkat pulang ke Istanbul disebabkan jadual misi yang diberikan perlu ditamatkan terlebih awal.

Pada pertemuan terakhir semalam dengan Timbalan Mufti Bandar Kilis, Mehmet Coban bersama wakil MLLFS menyatakan akan melakukan kerjasama dengan TDV untuk menaja bantuan makanan yang diuruskan agensi itu untuk 15,000 pelarian Syria di sempadan Turki-Syria.

Bantuan makanan termasuk tepung gandum bernilai AS$9,000 diserahkan kepada Mehmet sebagai wakil TDV.

Semalam rombongan berpeluang menyaksikan proses bantuan makanan ditaja MLLFS disiapkan sebelum dihantar masuk ke Syria iaitu nasi kabsah dan sup kacang kuda sebelum dihantar melalui lori.

Mohd Aiman turut berharap bantuan makanan ini dapat meringankan beban pelarian Syria yang kelaparan dan projek bantuan makanan dapat diteruskan sekiranya dana yang disalurkan mencukupi.

Bantuan Syria anjuran MLLFS adalah berterusan dan orang ramai masih boleh menyalurkan sumbangan tunai ke akaun Maybank (564810513971), Bank Islam (14210010009882) atau akaun Salam Suriah Resources di akaun CIMB (860204 1215).

Maklumkan sumbangan menerusi e-mel kepada donation.mllfs@gmail.com atau mesej pesanan ringkas dan WhatsApp kepada Syahrir Azfar Saleh di talian 012-2409173.

Mohd Aiman berkata, pihaknya akan meletakkan sukarelawan MLLFS yang lain untuk membantu menyediakan makanan bersama sukarelawan TDV dan kerjasama itu dilihat dapat mengeratkan hubungan antara dua agensi untuk bantuan misi kemanusiaan akan datang.

Secara tidak langsung kerjasama ini dapat membantu hubungan diplomatik antara Malaysia dan Turki.

Disiarkan pada: May 1, 2017 @ 8:16am
d