mutakhir

Berjaya tarik sejuta pengunjung hari ke-4

Kuala Lumpur: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2017 yang memasuki hari keempat semalam berjaya menarik jumlah pengunjung mencecah sejuta orang.

Pengarah Urusetia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia merangkap Pengerusi PBAKL, Abd Wahab Ibrahim berkata, cuti hujung minggu dan cuti umum sempena Hari Pekerja memberi peluang kepada orang ramai menyerbu pesta berkenaan sehingga menyebabkan ruang penuh sesak.

“Kami menjangkakan jumlah pengunjung akan bertambah dan dianggarkan sehingga hari ini (semalam) sudah mencecah angka sejuta.

“Sejak hari pertama pelancaran PBAKL 2017, jumlah itu menunjukkan peningkatan yang konsisten dan diharap dapat mencapai sasaran tahun ini,” katanya.

Seorang kaki tangan kerajaan, Salleh Affendi Ahmad, 35, berkata, dia sengaja tidak pulang ke kampung meskipun cuti tiga hari pada minggu ini semata-mata mahu meluangkan masa ke pesta buku berkenaan.

Katanya, pesta buku yang dianjurkan setahun sekali itu sememangnya bukan saja dinantikan mereka yang bergelar ‘ulat buku’ sebaliknya semua lapisan masyarakat.

“Sudah dua hari saya berada di sini untuk membeli buku yang sudah disenaraikan sejak awal, selain menghadiri pelbagai aktiviti yang dianjurkan setiap hari.

“Malah, saya juga berpeluang berjumpa dan beramah mesra dengan penulis buku, komik atau novel yang akan berada di ruang pameran masing-masing,” katanya.

Bagi pelajar Universiti Malaya, Siti Saleha Ismail, 22, pesta buku kali ini membuka ruang kepadanya untuk mencari duit poket bagi membelikan buku kepada mereka yang tidak berkesempatan datang ke PWTC.

“Biasanya pengunjung pesta buku ini berpeluang mendapatkan pelbagai barangan percuma, potongan harga istimewa selain mendapatkan autograf penulis.

“Justeru, bagi mendapatkan semua itu terutamanya autograf penulis, saya mengenakan sedikit bayaran kepada rakan kuliah dan Facebook sebagai upah,” katanya.

Sebanyak 11 ruang pameran di sekitar PWTC termasuk Dewan Merdeka dibuka yang menempatkan sebanyak 905 gerai pameran berbanding 800 gerai tahun lalu.

Pengunjung PBAKL 2017 disaran memanfaatkan pengangkutan awam termasuk Transit Aliran Ringan (LRT) dan komuter, manakala pengunjung juga boleh meletak kenderaan di PWTC, tempat letak kereta Sunway Mall dan Dewan Tun Razak 1.

PBAKL 2017 berlangsung dari 28 April hingga 7 Mei ini dibuka secara percuma mulai jam 10 pagi hingga 7 malam pada Isnin hingga Khamis, dan 10 pagi hingga 9 malam pada Ahad dan cuti umum.

Disiarkan pada: May 2, 2017 @ 10:11am
d