mutakhir

Selekoh makan jalan

Oleh Rosli Ilham

Chukai: Dua sahabat maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 25, Jalan Mak Lagam-Cheneh, dekat Bandar Baru Cheneh, semalam.

Dalam kemalangan jam 2.30 petang itu, dua sahabat dikenali sebagai Rosli Husin, 25 dan Safie Yusof, 28, yang menunggang motosikal Yamaha Nouvo LC meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada anggota badan.

Selain itu, dua lagi mangsa turut parah manakala seorang lagi cedera ringan.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Harrier dari Cheneh dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan selepas melalui satu selekoh di lokasi kejadian.

Akibat kejadian itu, kenderaan berkenaan merempuh motosikal ditunggangi mangsa.

Pada masa sama, sebuah pacuan empat roda Ford Ranger dinaiki pasangan suami isteri yang berada di belakang motosikal mangsa gagal mengelak lalu melanggar pula kenderaan Toyota Harrier sehingga menyebabkan kenderaan SUV itu terbalik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, pemandu Toyota Harrier, Mohd Hafeez Sulong, 25, cedera di badan dan kepala.

Katanya, pemandu Ford Ranger, Mohd Yusmali Mohd Yusoff, 51, pula cedera di tangan dan kaki sementara isterinya, Zaleha Abu Bakar, 49, patah tulang rusuk dan tangan kiri.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

“Tiga lagi mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan sebelum Mohd Hafeez dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2017 @ 10:14am
d