mutakhir

Peruntuk RM70 juta lagi lindungi pekerja

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerima peruntukan RM70 juta lagi daripada kerajaan bagi tujuan pembayaran faedah kewangan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) bagi 2018.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2017 Peringkat Kebangsaan Pekerja Kreatif, Pencetus Inovasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.

Najib berkata, ia adalah tambahan peruntukan kerana sebelum ini sebanyak RM52 juta sudah disalurkan kepada pertubuhan itu bagi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Menurutnya, SIP adalah inisiatif diperkenalkan kerajaan bagi memperluaskan perlindungan keselamatan sosial kepada 6.5 juta pekerja swasta tempatan di negara ini supaya mereka sentiasa terbela dan dilindungi.

“Melalui SIP, pekerja akan mendapat bantuan kewangan sementara untuk menyara diri dan keluarga dalam tempoh tertentu ketika mencari pekerjaan baru.

“Selain bantuan kewangan, pekerja yang kehilangan mata pencarian juga akan diberi sokongan perkhidmatan pekerjaan meliputi bantuan carian kerja, pemadanan pekerjaan, kaunseling kerjaya dan latihan kerjaya untuk mendapatkan pekerjaan baru,” katanya.

Katanya, kerajaan juga sedang memperhalusi draf Rang Undang-Undang SIP bagi pembentangan pada sesi persidangan Parlimen yang akan datang.

Najib berkata, selepas draf itu diperhalusi, barulah kutipan caruman akan dilaksanakan mulai Januari 2018 dan pemberian faedah kewangan pula dijangka dibuat mulai Januari 2019.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan juga bercadang memperluaskan liputan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri secara berperingkat kepada kategori pekerjaan informal yang lain seperti nelayan, petani, pekebun kecil, penjaja dan penggiat seni.

Katanya, menerusi skim itu, orang berinsurans yang menjalankan pekerjaan sendiri akan dilindungi sekiranya berlaku kemalangan ketika bekerja atau mengalami penyakit disebabkan pekerjaan sebagaimana pekerja dalam sektor formal.

“Sebelum ini, pada pembentangan Bajet 2017, saya turut umumkan geran pelancaran sebanyak RM60 juta bagi melaksanakan Skim Bencana Kerja untuk pemandu teksi yang bekerja sendiri atau individu yang menjalankan aktiviti dan seumpamanya serta skim ini akan ditadbir urus melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

“Buat permulaan, skim ini akan memberi perlindungan kepada kira-kira 100,000 pekerja terdiri daripada pemandu teksi yang bekerja sendiri dan individu yang menjalankan perkhidmatan seumpamanya seperti Uber dan Grab Car yang bakal dilaksanakan mulai 1 Jun 2017,” katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2017 @ 10:27am
d