mutakhir

Populasi buaya subur

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Penduduk Kampung Depan Balai dan Kampung Nibong Hangus gempar apabila seekor buaya muncul di Sungai Anak Kurau berhampiran kampung mereka sejak seminggu lalu.

Sebelum ini, penduduk di Kampung Padang Lalang juga dikejutkan dengan kemunculan reptilia itu kira-kira dua minggu lalu di Sungai Kurau sehingga menyebabkan mereka takut untuk mendekati sungai berkenaan.

Ketua Kampung Nibong Hangus Zainal Abidin Mohamad berkata, sejak seminggu lalu, dia menerima laporan daripada beberapa penduduk yang mencari rezeki sebagai nelayan sungai mendakwa menemui reptilia itu.

Menurutnya, satu laporan juga sudah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Daerah Kerian selepas reptilia itu dipercayai cuba menyerang seorang penduduk dan pihaknya percaya terdapat beberapa kes sama yang tidak dilaporkan.

“Mangsa yang pernah terserempak dengan reptilia itu memberitahu, buaya berkenaan didakwa pernah menterbalikkan bot seorang nelayan.

“Keadaan ini berlaku disebabkan populasi reptilia itu di Sungai Kurau semakin meningkat sehingga melebihi 500 ekor. Sehingga kini, majoriti nelayan sungai bimbang untuk turun ke Sungai Kurau bagi mencari rezeki,” katanya.

Zainal Abidin ditemui ketika lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu Datuk Sham Mat Sahat ke kampung berkenaan bagi mendengar permasalahan berkaitan reptilia itu yang dihadapi penduduk kampung.

Sementara itu, Sham berkata, pihaknya prihatin dengan masalah dihadapi penduduk dan akan meminta Perhilitan Daerah Kerian mengambil tindakan segera bagi menangani ancaman buaya.

Menurutnya, kemunculan reptilia itu mungkin disebabkan populasinya di Sungai Kurau semakin meningkat dan perlu diatasi segera sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

Disiarkan pada: May 2, 2017 @ 1:25pm
d