mutakhir

Perhalusi terma daftar tahfiz

Oleh Nursyahirah Marzuki

Putrajaya: Terma dan rujukan bagi proses pendaftaran sekolah tahfiz swasta dan persendirian di negara ini akan dibincang secara terperinci dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangannya bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom kelmarin.

Beliau berkata, terma dan rujukan berkenaan termasuk daripada segi infrastruktur, kokurikulum dan latar belakang guru yang mengajar di tahfiz berkenaan.

“Pada peringkat awal, kita mencadangkan supaya pegawai dari KPM dan JAKIM duduk bersama untuk menentukan terma dan rujukan sebelum kita melaksanakan proses pendaftaran sekolah tahfiz.

“Sekiranya terma dan rujukan ini sudah ada, kita boleh mendapatkan maklumat terperinci daripada setiap negeri seperti bilangan sekolah tahfiz yang ada dan barulah proses selanjutnya dimulakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Multaqa Pengetua dan Guru Besar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) bersama Bahagian Pendidikan Islam (BPI) 2017 di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan) Datuk Ahmad Tajudin Jab dan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Nor Hayati L Isa.

Media sebelum ini melaporkan Mahdzir akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk membincangkan isu menyegerakan pendaftaran sekolah agama tahfiz di seluruh negara.

Beliau dipetik berkata, pertemuan itu akan diadakan dengan Datuk Seri Jamil Khir Baharom selaku menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam.

Disiarkan pada: May 3, 2017 @ 6:00am
d